27 March 2008

Puteri Tolak Saranan Ketua Penerangan UMNO, Petanda Awal Perubahan Pemimpin

Lihat video - Pandangan Tun Dr. Mahathir

Jangan tangguh lagi -- Puteri, pemimpin UMNO mahu pemilihan parti diteruskan

KUALA LUMPUR 26 Mac – Pergerakan Puteri UMNO dan beberapa ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu menolak saranan supaya pemilihan UMNO di peringkat cawangan, bahagian dan MT ditangguhkan lagi.

Sebaliknya, mereka berpendapat, pemilihan tersebut tetap perlu diadakan tahun ini setelah ia ditangguhkan pada tahun lalu bagi memberi laluan kepada parti itu bersiap menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-12.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Noraini Ahmad berkata, dari segi peraturan, pemilihan UMNO memang boleh ditunda selama 18 bulan yang hanya akan berakhir pada Jun tahun depan.

Namun, katanya, Puteri UMNO berpendapat ia tetap perlu dilangsungkan tahun ini.

“Seandainya pemilihan tidak dapat dibuat pada bulan Ogos sebagaimana dibayangkan sebelum ini, pemilihan tetap perlu diadakan selewat-lewatnya Disember 2008,’’ kata Noraini dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib semalam berkata, para pemimpin badan perhubungan UMNO negeri yang bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini mencadangkan supaya pemilihan parti itu ditunda ke Jun tahun depan bagi mengelakkan berlaku ‘malapetaka’ politik negara.

Pemilihan MT UMNO sepatutnya diadakan pada November tahun lalu sebelum ia ditangguhkan ke pertengahan tahun 2008. Kali terakhir UMNO menjalankan pemilihan parti ialah pada September 2004.

Mesyuarat MT UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) esok dijangka membuat keputusan mengenai isu itu.

Di SEREMBAN, ahli MT UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan juga mahu pemilihan UMNO yang dijadualkan pada tahun ini diteruskan demi masa depan parti.

“Ini adalah pandangan peribadi saya. Bagi saya, kita jangan lari daripada masalah. Kita kena hadapinya. Kita tangguh sampai bila pun, masalahnya akan ada juga.

“Pilihan Raya Umum Ke-12 baru-baru ini memberi pengajaran yang amat mahal. Kita kena rasional. Kalau kita sayangkan UMNO, tidak payah kita tangguhkan lagi pemilihan.

“Kalau agenda peribadi mengatasi perjuangan, tangguhkan sampai bila pun, ia tidak akan menyelesaikan masalah,’’ jelas Menteri Besar Negeri Sembilan itu.

Seorang lagi ahli MT, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, cadangan menunda pemilihan UMNO ke tahun depan tidak membawa sebarang makna kerana akhirnya pemilihan itu akan tetap dijalankan.

“Tidak ada bezanya jika pemilihan ditangguhkan ke tahun depan. Pemilihan sepatutnya diteruskan seperti yang dirancang,” katanya ketika dihubungi.

Bekas Menteri Besar Selangor itu menegaskan, UMNO patut mencontohi MCA yang tetap meneruskan pemilihan parti itu walaupun MCA memperoleh keputusan pilihan raya yang lebih buruk pada pilihan raya umum lepas.

MCA hanya memenangi 15 daripada 40 kerusi Parlimen yang ditandinginya dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Mohamad Khir turut mencadangkan pucuk pimpinan UMNO mendapatkan pandangan ahli-ahli peringkat bawahan terlebih dahulu berhubung perkara itu.

Berdasarkan amalan parti, katanya, banyak keputusan yang diputuskan di peringkat atasan dibuat tanpa mendapatkan maklum balas ahli-ahli akar umbi.

“Kita tanya ahli-ahli, adakah mereka mahukan pemilihan diadakan lebih cepat? Dari situ baru kita putuskan sama ada perlu teruskan pemilihan tahun ini atau menangguhkannya ke tahun depan,’’ katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat, Ahmad Faizal Azumu berkata, ahli-ahli UMNO di peringkat mana sekalipun telah mempunyai kematangan dalam politik.

Katanya, dakwaan sesetengah pihak kononnya pertandingan akan mengundang perpecahan hanyalah satu andaian.

“Pemilihan parti adalah peluang untuk ahli-ahli UMNO mencari pemimpin yang terbaik untuk memimpin parti. Jika ia terus dilewatkan, kita akan terus berhadapan dengan masalah terutama dari segi persepsi rakyat,’’ katanya.

Dalam pada itu, Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa, Mohd. Idham Yasser berkata, ramai pemimpin UMNO tidak bersetuju pemilihan parti ditangguhkan.

“Pemuda UMNO sendiri berhadapan dengan sekatan had umur jika pemilihan ditunda. Akan ada ramai yang terlepas peluang memimpin pergerakan Pemuda kerana melewati had umur,” jelasnya.

http://www.utusan.com.my

Kejutan: Puteri tidak setuju tangguh

Pergerakan Puteri Umno membuat kejutan apabila mengeluarkan kenyataan bertentangan dalam tempoh beberapa jam berhubung isu penangguhan pemilihan agung parti itu.

Datuk Noraini Ahmad pada awalnya bersetuju ia diadakan tahun depan demi menyelesaikan masalah dalaman dan luaran parti, lapor New Straits Times hari ini.

Namun empat jam kemudian, laporan itu dipetik, menarik balik kenyataan dan membantah penangguhan.

Jika ia gagal diadakan pada Ogos seperti dijadual, tambah Noraini, ia boleh dibuat pada Disember.

Hari ini, kira-kira 24 jam menjelang mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, semakin ramai pemimpin dan penggerak akar umbi parti itu membantah saranan untuk menangguhkan pemilihan seperti disuarakan oleh ketua penerangan Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Semalam, beliau berkata kebanyakan negeri mencadangkan pemilihan parti ditunda ke tahun depan dalam pertemuan dengan presiden Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Selain Noraini, beberapa pemimpin Pemuda Umno peringkat bahagian dilaporkan menolak penangguhan.

Semalam exco Pemuda yang lantang, Datuk Mukhriz Tun Mahathir mahu pemilihan parti diteruskan mengikut jadual.

Hari ini, dua lagi pemimpin kanan yang juga ahli MT Umno Datuk Seri Mohamad Hassan dan Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo sependapat dengan pandangan Mukhriz.

http://www.malaysiakini.com


Sebelum itu...

Cheras: Pak Lah juga perlu bertanding

Semua jawatan, termasuk presiden dan timbalan presiden Umno, yang kini disandang oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, perlu dipertandingkan supaya mereka yang terpilih merupakan barisan pemimpin yang benar-benar dikehendakli oleh ahli, kata ketua bahagian Umno Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee.

Oleh itu, beliau menggesa dimansuhkan sistem kuota yang diwajibkan ke atas calon-calon yang ingin bertanding jawatan presiden, timbalan presiden, najib presiden dan majlis tertinggi (MT) Umno.

Kuota pencalonan yang dikenakan ialah 30 peratus bagi jawatan presiden, timbalan presiden (20 peratus), naib presiden (10 peratus) dan lima peratus untuk kerusi MT.

Syed Ali berkata, Umno perlu kembali mengamalkan sistem lama yang membenarkan calon layak bertanding semua jawatan parti apabila mendapat seorang pencadang dan seorang penyokong.

Berani cabar

"Amalan (kuota) ini dibuat di zaman Tun Dr Mahathir Mahathir. Walaupun beliau pernah dicabar Tengku Razaleigh tetapi Umno kembali kuat," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat khas Umno bahagian Cheras malam tadi.

Oleh itu, katanya, Abdullah juga tidak perlu takut untuk bertanding mempertahankan jawatan presiden.

Syed Ali berkata, ini kerana kemenangan melalui pertandingan membuktikan beliau seorang 'anak jantan' yang berani berdepan dengan apa juga cabaran.

Beliau berkata, sistem kuota juga menyebabkan berlakunya rasuah apabila pemimpin yang mahu bertanding membeli pencalonan daripada bahagian-bahagian.

"Keadaan ini menyebabkan hanya orang tertentu sahaja yang mampu membeli sokongan dari bahagian untuk mendapat pencalonan yang mencukupi mengikut sistem kuota tersebut," katanya.

Cara ini, tambahnya, tidak sihat dan gagal melahirkan barisan pemimpin yang benar-benar tulen seperti yang dikehendaki oleh para ahli.

Syed Ali berkata, bahagian itu juga menyokong gesaan supaya Umno mengadakan perhimpunan agung khas untuk membincangkan prestasi buruk BN, khususnya Umno dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Gesaan tersebut dimulakan oleh ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan juga Pemuda Umno Johor.

Syed Ali Alhabshee berkata, pihaknya menyokong gesaan itu kerana ia penting dalam usaha memulihkan kekuatan parti yang kalah teruk dalam pilihanraya umum lalu.

Katanya, usaha tegas perlu diambil bagi memantap semula Umno dan ia boleh dilakukan dengan mendengar kritikan dan saranan para ahli peringkat akar jika perhimpunan khas itu diadakan.

http://www.malaysiakini.com

Ramai bantah tunda pemilihan

Semakin ramai pemimpin kanan Umno yang tidak bersetuju dengan cadangan supaya pemilihan parti itu yang dijadual Ogos ini ditangguhkan ke tahun depan.

Semalam, anggota parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Mahathir mahu pemilihan parti diteruskan mengikut jadual.

Hari ini, dua lagi pemimpin kanan yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno - Datuk Seri Mohamad Hassan dan Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo - sependapat dengan pandangan Mukhriz.

Bercakap selepas mesyuarat exco hari ini, Mohamad yang juga menteri besar Negeri Sembilan berkata, pemilihan parti tidak perlu ditangguhkan dan hendaklah diteruskan mengikut jadual.

Semalam, ketua penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, dalam pertemuan dengan presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, wakil badan-badan perhubungan negeri menggesa pemilihan Umno ditangguhkan hingga tahun depan.

Mengikut perlembagaan, Umno boleh menangguhkan pemilihan pucuk pimpinannya sehingga 18 bulan. Ini bermakna parti itu mempunyai tempoh sehingga Jun depan untuk mengadakannya.

Pemilihan Umno sepatutnya diadakan tahun lepas tetapi ditangguhkan untuk menghadapi pilihanraya umum ke-12.

MT Umno akan bermesyuarat esok bagi memutuskan perkara tersebut.

Mengapa tangguh?

Mohamad, yang juga pengerusi perhubungan Umno, mempersolkan penangguhan pemilihan parti kerana lambat laun ia harus diadakan.

"Mengapa hendak tangguh pemilihan parti? Jika ditangguhkan sekarang, ia kena diadakan juga kemudian," kata Mohammad, yang menegaskan pandangan itu bersifat peribadi.

Menurutnya lagi, jika Umno menghadapi masalah, tiada sebab untuk lari daripada menghadapinya.

"Kita mesti menyelesaikannya dalam semangat sebenar Umno," katanya.

Setiap masalah tidak boleh ditutup begitu sahaja, tambahnya.

Sementara itu, The Star Online melaporkan Dr Mohamad Khir Toyo pula berkata Umno perlu mendapat pandangan ahli akar umbi sebelum memutuskan untuk menangguhkan pemilihan.

Bekas menteri besar Selangor itu berkata, pada kebiasaannya, keputusan dibuat di peringkat atasan tanpa mendapat maklum balas akar umbi.

Katanya, keputusan pilihanraya umum baru-baru ini menunjukkan betapa pentingnya untuk turut mengambil kira pandangan peringkat bawah.

'Tanya ketua cawangan'

"Kita mesti mengkajinya - sama ada ahli-ahli mahu perubahan. Kita ingin tahu apa sebenarnya yang berlaku di peringkat akar umbi. Bagi saya, cara terbaik ialah kembali kepada ketua-ketua cawangan dan bertanya apa pandapat mereka," katanya.

Dr Mohamad Khir berkata, tidak mencukupi hanya mengambil pandangan ketua-ketua badan perhubungan dan ketua-ketua bahagian sahaja kerana ia mungkin tidak mencerminkan sentimen sebenar di peringkat akar umbi.

Semalam, Mukhriz berpendapat, Umno tidak wajar menangguhkan pemilihan bagi menghormati suara ahli-ahli Umno untuk memilih bakal pemimpin yang mereka kehendaki.

Katanya ini kerana pemilihan parti sangat penting dan ia merupakan satu proses demokrasi yang harus dilalui oleh parti.

Zahid setuju tangguh

"Saya merayu kepada kepimpinan Umno supaya tidak menunda pemilihan dan ikutlah seperti apa yang telah dikatakan (oleh presiden parti tahun lepas) iaitu pemilihan akan diadakan pada tahun ini," katanya dalam laporan Bernama semalam.

Mukhriz, yang juga anggota exco Pemuda Umno, berkata beliau yakin pertandingan merebut jawatan tidak akan menyebabkan perpecahan kerana perwakilan sekarang mampu membuat keputusan yang bijak tanpa emosi.

Cadangan untuk menangguhkan pemilihan itu ada kaitan dengan kekalahan teruk BN, termasuk Umno, dalam pilihanraya umum 8 Mac.

BN gagal mengekalkan penguasaan dua pertiga di Dewan Rakyat apabila hanya menang 140 daripada 222 kerusi parlimen.

Parti itu juga kehilangan empat lagi negeri - Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor - kepada barisan pembangkang, manakala PAS berjaya mengekalkan Kelantan dengan tambahan kerusi.

http://www.malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment