Ahmad Said terharu sambil memeluk Idris Jusoh (kiri) selepas melafazkan sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru di Istana Maziah, Kuala Terengganu semalam.– Gambar Fauzi Baharudin
KUALA TERENGGANU 30 Mac - Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said memberi jaminan kerajaan negeri akan mengkaji semula pelaksanaan beberapa projek besar di negeri ini sekiranya ia benar-benar dianggap tidak mendatangkan manfaat kepada rakyat.
Beliau berkata, pentadbiran baru akan memastikan hanya projek yang dirasakan benar-benar bermanfaat akan diteruskan manakala yang dianggap tidak berfaedah akan digantikan dengan projek lain.
‘‘Insya-Allah, saya akan lihat keseluruhan senario pembangunan Terengganu terlebih dahulu dan akan teliti keperluan utama rakyat sebelum membuat sebarang keputusan.
‘‘Kita akan meneliti apa yang mereka hendak daripada kerajaan, bukan kita beri pada rakyat apa yang kita rasa ada dan boleh beri.
‘‘Contohnya, kita ada projek pembangunan yang hebat tetapi akhirnya rakyat menolak. Itu tiada makna dan pembangunan yang dijalankan tidak datangkan manfaat kepada rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia di kediamannya di Kampung Teluk Kalong.
Bagaimanapun, beliau tidak menyebut projek yang dimaksudkan kerana ia dalam penelitian.
Antara projek dan program pembangunan yang sedang dijalankan di negeri ini ialah pembinaan kompleks sukan di Gong Badak, penambakan laut di muara Sungai Terengganu, Masjid Kristal di Taman Tamadun Islam dan acara Monsoon Cup.
Menurut Ahmad, dalam menjayakan pembangunan, hubungan timbal balik antara kerajaan dan rakyat amatlah perlu.
Beliau juga akan melihat secara keseluruhan mana-mana projek yang boleh dan tidak untuk diteruskan.
Katanya, ini penting bagi memastikan projek yang boleh mendatangkan faedah kepada rakyat dijalankan.
‘‘Kita akan kaji kembali dan digantikan dengan projek lain. Terangkan kepada rakyat. Mana projek kita rasakan tak sesuai, tak menguntungkan rakyat, kita tidak teruskan,” katanya.
Ahmad menjelaskan apa yang tidak betul selama ini adalah kerajaan hanya melaksanakan projek, tetapi rakyat tidak memahami apa-apa di sebalik pelaksanaan projek itu.
‘‘Kita juga hendak tahu apa jua pembangunan yang dapat faedah pada rakyat dan rakyat pula ucap terima kasih dan sebagai ucapan terima kasih itu, mereka terus memberikan sokongan kepada kerajaan.
‘‘Itu yang kerajaan hendak. Bukan kerajaan buat, rakyat pula tidak tahu apa-apa,” katanya.
Mengenai pelantikannya sebagai Menteri Besar, Ahmad berkata, beliau menganggapnya sebagai satu amanah yang terpaksa dipikul.
Katanya, ini penting untuk memastikan kesinambungan dapat berjalan dengan sempurna dan rakyat tidak terpaksa tunggu begitu lama untuk kerajaan Barisan Nasional (BN) dapat menjalankan amanah terhadap mereka.
http://www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment