01 March 2008

PM Belanda beri amaran ancaman jika filem kritik Al-Quran diteruskan

AMSTERDAM 1 Mac – Perdana Menteri belanda, Jan Peter Balkenende memberi amaran kepada seorang Ahli Parlimennya supaya tidak mendatangkan risiko terhadap kepentingan negara dengan meneruskan projek filemnya yang mengkritik Al-Quran.

Balkenende merayu kepada Geert Wilders semalam mengenai risiko yang bakal dihadapi tetapi tidak menuntut supaya filem yang berada pada peringkat akhir penyuntingan tidak diedar.

“Kami perlu mengambil kira ancaran serius terhadap rakyat Belanda,” kata Balkenende dalam temu ramah dengan sebuah stesen televisyen.

“Apa anda melihat reaksi di luar dan dalam negeri, apa risiko oleh filem ini, maka jawapannya perlu ditanya kepada Wilders sendiri,” tegasnya.

Wilders mendakwa, filem pendek itu bertujuan memaparkan Al-Quran sebagai “buku fasis”.

Katanya, setakat ini tidak ada pihak yang mahu menyiarkan filem itu dan kemungkinan disiarkan melalui Internet.

Dalam kenyataan susulan selepas amaran Balkenende, Wilders mendakwa. Kabinet “tunduk kepada ketakutan terhadap pengganas dan ketakutan terhadap Islam” dan menolak desakan supaya projek filem itu dibatalkan.

Minggu lalu Pakistan telah mengarahkan pembekal perkhidmatan Internet menyekat akses ke YouTube bagi menghalang rakyat negara itu mendapat laluan ke klip filem Wilders yang bersifat menghina Islam.

Sementara itu pertubuhan-pertubuhan Islam di Belanda menyatakan, mereka akan memfailkan dakwaan ucapan menimbulkan kebencian terhadap Wilders berhubung kenyataannya sebelum ini.

Mufti Agung Syria turut memberi amaran bahawa tindakan menyiarkan filem itu akan mencetuskan “pertumpahan darah.” – AP

No comments:

Post a Comment