PUTRAJAYA 5 Mac – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi amaran supaya tidak ada pihak yang cuba menghalang atau menahan mana-mana pengundi berdaftar dari luar yang pulang ke negeri asal masing-masing bagi menunaikan tanggungjawab membuang undi pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Sabtu ini.
Setiausaha SPR, Datuk Kamaruzaman Mohd. Noor menegaskan, para pengundi tersebut tidak boleh dianggap sebagai `pengundi hantu' kerana nama mereka tersenarai dalam senarai daftar pemilih meskipun kini tidak lagi tinggal di bahagian pilihan raya berkenaan.
Tegas beliau, sesiapa yang didapati menghalang para pengundi berdaftar tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Jelasnya, jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
``Saya harap jangan ada pihak yang menahan pemilih yang berdaftar daripada balik ke kampung halaman masing-masing untuk menunaikan tanggungjawab mereka untuk mengundi.
``Jika ada pihak yang mahu melakukan perkara itu harap fikir dua kali, kenapa hendak sekat kalau mereka itu adalah pemilih yang berdaftar dengan SPR,'' katanya pada sidang akhbar mengenai isu pengundi hantu dan ketelusan suruhanjaya tersebut di sini hari ini.
Semalam, akhbar melaporkan Pas akan melakukan apa saja bagi menghalang apa yang didakwa sebagai pengundi upahan atau pengundi hantu pada Pilihan Raya Umum Ke-12.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan semalam memberi amaran bahawa tindakan seperti menghalang bas atau orang ramai memasuki mana-mana kawasan mengundi adalah satu perbuatan yang melanggar undang-undang.
Menurut Kamaruzaman, fenomena ramai pengundi luar pulang ke kampung halaman masing-masing bagi membuang undi berlaku apabila mereka tidak membuat permohonan menukar alamat tempat mengundi selepas berpindah ke kawasan baru.
``Persoalan sama ada orang itu dikenali atau tidak, itu bukan persoalan undang-undang, yang penting nama mereka itu terdapat dalam senarai daftar pemilih,'' katanya.
- http://www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment