KOTA BHARU, 6 Mac (Hrkh) - PAS tidak dapat menghalang rakyat menggunakan kuasa tangkapan orang awam (citizen arrest) ke atas 'pengundi hantu', kata Naib Presidennya, Datuk Husam Musa.
"Kalau ada orang awam buat tangkapan, saya tak boleh tahan ... pendekatan kita ialah solat hajat dan doa," kata beliau ketika ditanya adakah PAS akan menggunakan kuasa tangkapan itu untuk membanteras pengundi hantu.
Selain menekankan semua ahli dan penyokong PAS bersolat hajat, berdoa dan bermunajat kepada Allah untuk memastikan kemenangan PAS dalam pilihan raya umum kali ini, Husam berkata, PAS juga mengambil pendekatan memberi peringatan.
PAS Kelantan, katanya, akan memasang poster-poster dan sepanduk-sepanduk mengingatkan pengundi-pengundi yang tidak sah atau lebih dikenali sebagai pengundi hantu tentang kemurkaan Allah atas pengkhianatan yang mereka lakukan.
Husam juga memberitahu bahawa pihaknya mendapat maklumat dari ibu pejabat Umno bahawa kira-kira 21,000 anak Kelantan di perantauan akan kembali dengan pengangkutan yang disediakan oleh Barisan Nasional (BN).
"Sebelum ini Perdana Menteri berkata ada 80,000 pengundi dari luar Kelantan yang akan kembali mengundi. Menantunya juga kata begitu. Yang dapat mereka bawa ialah 21,000, siapa lagi 60,000?" beliau mempersoalkan.
Beliau tidak menolak kemungkinan sebahagian dari 60,000 itu ialah mereka yang akan "mengundi berrtindih".
"Kita telah mendapat senarai penuh mereka yang didaftarkan dua kali dalam daftar pemilih," kata beliau yang menyifatkan daftar pengundi yang ada sekarang dijangkiti virus yang meruntuhkan demokrasi.
Beliau merujuk kepada nama mereka dalam senarai pengundi pos tetapi pada masa yang sama tersenarai juga dalam daftar yang di luar dari daftar pengundi pos.
"Nama-nama tersebut telah diserahkan kepada daerah-daerah mengundi," kata beliau sambil menekankan bahawa hanya tindakan yang tidak melanggar undang-undang sahaja yang akan diambil untuk menghalang pengundi bertindih tersebut dari mengundi.
Beliau juga meminta Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman supaya memberikan perhatian kepada masalah pengundi bertindih itu dan bukannya heboh dengan "gimik yang tidak diperlukan" yang beliau sifatkan "macam budak-budak" .
Malaysiakini melaporkan, rumah Abdul Rashid hari ini disimbah cat warna merah, dipercayai sebagai bantahan keputusannya membatalkan pelaksanaan dakwat kekal di jari pengundi.
Kejadian itu, dipercayai awal pagi atau tengah malam tadi, diketahui hari ini oleh pekerja rumahnya di Jalan Bukit Pantai, Kuala Lumpur.
Abdul Rashid memberitahu Malaysiakini, beliau percaya kejadian itu bermotifkan politik.
Perbuatan menyimbah cat merah bahagian pagar rumahnya di Lorong Bukit Pantai 7, Lembah Pantai itu dipercayai dilakukan tiga lelaki kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi, lapor laman web Utusan Malaysia.
Abdul Rashid bagaimanapun hanya menyedari perkara itu pada pukul 7.30 pagi ini ketika beliau menunggu pemandunya untuk keluar menuju ke pejabatnya.
Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan yang mengulas kejadian itu menegaskan pihaknya sedang menjalankan siasatan mengenainya.
SPR kelmarin membatalkan cadangan penggunaan dakwat kekal, hanya empat hari sebelum pengundian pada Sabtu ini.
Pengumuman mengejutkan itu dibuat pada satu sidang akhbar di yang turut dihadiri ialah Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan juga Musa.
Beberapa hari sebelumnya, pembangkang menegur SPR yang kelihatan berat hati untuk memperkenalkan penggunaan dakwat tersebut.
No comments:
Post a Comment