09 March 2008

Pembangkang boleh tubuh kerajaan di lima negeri

KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tiga parti pembangkang akan berbincang mengenai penubuhan kerajaan dan pelantikan ketua kerajaan di negeri-negeri yang dimenangi pembangkang pada Pilihan Raya Umum ini.

Katanya berdasarkan keputusan tidak rasmi, pembangkang menguasai Pulau Pinang, Kelantan, Kedah, Selangor dan Perak.

"Kita telah mencapai kejayaan lebih daripada satu pertiga (di Parlimen)... Kita telah menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN). Kami sudah melepasi satu pertiga. Politik di Malaysia tidak akan sama.

"Isu siapa bakal Menteri Besar atau Ketua Menteri akan diputuskan jika parti-parti tertentu (PKR, PAS atau DAP) mempunyai majoriti mutlak. Kami kena berunding dengan rakan pakatan.

Kami akan ikut prosedur standard, dapatkan perkenan Sultan atau Tuan Yang Terutama," katanya pada sidang media di kediamannya di Bukit Segambut, di sini pagi ini.

Anwar berkata bukan mudah untuk membentuk kerajaan dan ia memerlukan masa untuk melakukannya.

Mengenai sama ada parti itu akan menganjurkan sambutan bagi meraikan kemenangan parti pembangkang, Anwar berkata tiada sebarang sambutan besar dirancang setakat ini.

"Rakyat kini matang. Saya mahu menasihatkan semua penyokong PKR supaya bertenang dan tidak bertindak melulu dengan provokasi mana-mana pihak yang mahu mencetuskan kekalutan," katanya.

Anwar berkata pilihan raya kali ini membuktikan bahawa rakyat telah memilih untuk mendapatkan pembaharuan.

"Pilihan raya umum kali ini, rakyat dengan tekad menuntut perubahan. Mereka mahu kebertanggungjawaban dan ketelusan. Hari ini era baru telah tercipta.

Rakyat sudah membuktikannya dengan jelas dan mahukan pembaharuan.

"Tekad kita (PKR) ialah untuk memperkukuh perpaduan, muafakat dan saling hormat-menghormati. Insya-Allah, esok kita akan mulakan gerakan untuk membina Malaysia baru bersama dan pada hemat kami satu masa depan baru Malaysia mula tercipta," katanya. BERNAMA

No comments:

Post a Comment