Lanjutan daripada laporan tentang penafian Dato’ Seri Abdullah Badawi, Pengerusi BN bahawa tidak wujud pengundi hantu seperti yang didakwa oleh parti pembangkang, PAS hari ini bersedia untuk mendedahkan dengan lebih lanjut tentang operasi pengundi hantu seperti yang didakwa sebelum ini.
A. PAS telah difahamkan bahawa Barisan Nasional sedang merancang satu penipuan besar-besaran dalam pilihanraya 8 Mac 2008 ini di negeri Kelantan dengan kerjasama SPR bagi tujuan merampas pemerintahan Kelantan daripada PAS. Kepercayaan ini berasaskan kepada tindak-tanduk jentera BN dan fakta-fakta yang diperolehi oleh PAS akhir-akhir ini dan disokong dengan apa yang telah berlaku sejak pilihanraya umum ke-11 pada tahun 2004.
PAS percaya BN akan menggunakan sepenuhnya kepincangan dalam daftar pemilih selain mendapat kerjasama daripada ejensi-ejensi kerajaan yang tertentu untuk membolehkan mereka melaksanakan operasi ini.
Berikut adalah gambaran modus operandi yang telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh BN:-
1. Sepanjang tempoh pendaftaran daftar pemilih, BN dengan kerjasama SPR membuat operasi untuk membolehkan wujudnya ”pengundi terancang” (planted voters) di negeri Kelantan iaitu pengundi yang boleh dirancang pengundiannya oleh BN yang terdiri daripada kategori–kategori berikut:-
a. Kategori pengundi tentera dan polis yang berdaftar sebagai pengundi pos dan diwujudkan dalam pendaftaran pengundi awam dengan menggunakan ID awam;
(PAS bersedia mengemukakan bukti wujudnya pengundi yang mempunyai pendaftaran sebagai pengundi pos dan pengundi awam dalam masa yang sama).
b. Pengundi yang dipindahkan ke Kelantan (tanpa pengetahuan) atau didaftarkan tanpa pengetahuan pemilik ID di Kelantan. Kebiasaannya pengundi kategori ini biasanya tidak bersedia untuk mengundi kerana mereka berada di luar Kelantan.
(PAS bersedia mengemukakan bukti wujudnya pengundi yang dipindahkan dari kawasan mengundi di luar Kelantan ke Kelantan dan wujudnya pengundi yang didaftarkan di Kelantan tanpa permohonan oleh pemilik ID).
c. Mewujudkan pendaftaran berulang bagi seorang pemilik ID di dua atau lebih tempat mengundi;
(PAS bersedia mengemukakan bukti wujudnya daftar berulang di dalam daftar pemilih).
d. Mewujudkan pendaftaran palsu dengan ID palsu.
e. Mengenalpasti pengundi-pengundi lesap iaitu pengundi yang rekodnya menunjukkan mereka tidak keluar mengundi dalam pilihanraya-pilihanraya terdahulu.
f. Membuat operasi pendaftaran beramai-ramai secara tidak demokratik iaitu dengan menyalahgunakan kekuasaan (misuse of authority) seperti mendaftarkan pelajar-pelajar universiti melalui pihak berkuasa universiti, juga dengan menyalahgunakan hubungan pengaruh tidak wajar (undue influence) seperti mendaftarkan pekerja-pekerja kilang melalui majikan dan sebagainya. Dengan cara sebegini, pengundi telah tidak diberi kebebasan untuk menentukan di mana pilihan mereka untuk mengundi selain dipengaruhi untuk mengundi BN dengan balasan/habuan tertentu.
2. Seterusnya, semasa musim pilihanraya, BN akan menggerakkan jenteranya untuk mengumpulkan ”pengundi-pengundi upahan” dari luar Kelantan bagi dikerahkan ke Kelantan dan juga di kalangan petugas BN di dalam negeri Kelantan untuk mengundi dengan menggunakan nama dan ID ”pengundi terancang” yang telah diwujudkan di dalam daftar pemilih. Untuk menggerakkan usaha ini, BN biasanya berselindung di sebalik operasi kempen balik mengundi seperti yang dijalankan sekarang sebagai ”Pakat Kelik Ngundi” tetapi sebenarnya adalah untuk menggerakkan pengundi upahan dan untuk merasionalisasikan peratus keluar mengundi yang akan meningkat kerana pengundian pengundi terancang tersebut.
3. Pada kali ini, PAS difahamkan BN sanggup membayar upah sebanyak RM300 sehingga RM600 setiap seorang yang turun mengundi ke Kelantan. Tawaran ini dikemukakan kepada sesiapa sahaja yang berminat tanpa perlu memastikan samada orang tersebut pengundi di Kelantan ataupun tidak. Bagi pengundi upahan yang bukan pengundi berdaftar di negeri Kelantan, PAS percaya satu kaedah pengeluaran ID secara tidak sah (pemalsuan ID) dibuat bagi membolehkan mereka (pengundi upahan) mengundi di atas daftar nama pengundi terancang. Ini boleh diandaikan benar kerana pada pilihanraya sebelum ini, terdapat pengundi berdaftar yang tidak dapat mengundi kerana rekod menunjukkan ada pengundi lain yang mengundi di atas daftar nama beliau. Melalui operasi begini juga, tidak mustahil berlaku seorang pengundi upahan mengundi bagi lebih daripada satu daftar nama (multiple voting) dalam negeri yang sama.
4. Operasi sebegini telah dilaksanakan oleh BN untuk menjatuhkan Kerajaan PAS di Terengganu pada tahun 2004. Pada tahun tersebut, kita semua maklum tentang banyak perkara yang luarbiasa seperti yang telah dilaporkan sebelum ini antaranya:-
a. Pertambahan jumlah pengundi dalam daftar pemilih Terengganu yang luarbiasa sejak tahun 2000 hingga 2004;
b. Peratus keluar mengundi yang meningkat luar biasa sehingga lebih 90% di sesetengah tempat (yang anehnya Pengerusi SPR telah membuat kenyataan beberapa hari sebelum hari mengundi bahawa beliau menjangkakan berlaku pertambahan peratus keluar mengundi yang besar pada tahun tersebut);
c. Pengundi-pengundi yang tidak dapat mengundi kerana rekod menunjukkan mereka sudah mengundi (bermaksud ada orang lain telah mengundi menggunakan nama mereka);
d. Penambahan masa mengundi di Selangor. Penambahan masa ini dipercayai dibuat untuk membolehkan pengundi-pengundi upahan yang mengundi di Terengganu sempat berpatah balik bagi mengundi di Selangor (di dalam keputusan petisyen pilihanraya bagi Parlimen Gombak dan DUN Gombak Setia, mahkamah telah memutuskan bahawa penambahan masa tersebut adalah pelanggaran kepada undang-undang, malangnya mahkamah tidak membatalkan kemenangan BN di atas alasan pelanggaran tersebut tidak menjejaskan keputusan pilihanraya);
B. PAS telah menerima maklumat perjalanan bas-bas yang akan membawa pengundi-pengundi upahan ini (pengundi hantu) dari seluruh negara termasuk daripada beberapa universiti tempatan.
C. PAS mengingatkan bahawa, di atas semangat mempertahankan demokrasi, PAS akan melakukan apa saja tindakan bagi menghalang pengundi-pengundi hantu ini dari masuk mengundi ke Kelantan dan Terengganu. Petugas-petugas PAS telah diarahkan dan cukup bersedia untuk memastikan mereka tidak berjaya mengundi sebagai pengundi hantu.
D. PAS mencabar SPR, Barisan Nasional dan semua pihak yang dikaitkan di dalam dakwaan di atas untuk mengakui atau menafikan dakwaan tersebut dan PAS bersedia untuk mengemukakan mana-mana bukti seperti yang dinyatakan dan bersedia untuk memberikan pendedahan selanjutnya selepas ini.
E. PAS akan menghantar sesalinan aduan dan pendedahan ini kepada SPR serta pihak-pihak terbabit dan PAS akan mengulangi pendedahan ini sepanjang baki kempen pilihanraya sehingga pihak-pihak yang terbabit menjelaskan kedudukan masing-masing.
- http://www.marhaen.org
No comments:
Post a Comment