KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum 2008 mencatat sejarah hitam bagi MIC apabila presiden, timbalan presiden dan dua naib presidennya kalah dalam pertandingan.
Berbanding kemenangan 100 peratus yang dicatatnya pada pilihan raya umum 2004, pada pilihan raya kali ini, parti berasaskan kaum India itu hanya memenangi tiga daripada sembilan kerusi Parlimen yang ditandinginya dan keputusan setakat ini menunjukkan parti itu kalah semua kerusi yang ditandinginya di Pulau Pinang dan Selangor, dan semua melain satu di Perak.
Parti itu bagaimanapun berjaya memenangi empat kerusi yang ditandingi di Johor.
Presidennya Datuk Seri S. Samy Vellu, yang memimpin parti itu sejak sekian lama, kalah di Sungai Siput, yang menjadi kubunya sejak 1974.
Bagaimanapun, setiausaha agung parti itu Datuk S. Subramaniam and seorang lagi calonnya S.K. Devamany terselamat dalam tsunami politik yang melanda MIC, apabila masing-masing berjaya memenangi kerusi Parlimen Segamat dan Cameron Highlands.
Ketua Penerangan MIC Datuk M. Saravanan pula terselamat daripada bencana itu apabila menang kerusi Parlimen Tapah.
Timbalan presiden parti itu Datuk G. Palanivel juga tumbang di Hulu Selangor mananakala naib presidennya Datuk S. Sothinanthan kalah di kawasan Parlimen Teluk Kemang.
Seorang lagi naib presiden MIC Datuk S. Veerasingam, yang berpindah daripada kerusi Parlimen Tapah ke Sungkai, juga kalah.
Ketua Pemuda MIC Datuk S.A. Vigneswaran turut menjadi korban apabila kalah bagi kerusi Parlimen Kota Raja, manakala Ketua Wanita MIC mengalami nasib serupa di Kapar.
Di Subang, muka baru S. Murugesan juga kecundang dalam cubaan pertamanya untuk menjadi wakil rakyat. BERNAMA
No comments:
Post a Comment