30 March 2008

MalaysiaKini - Polis Buru 3 Lelaki, Natang

Tiga dijejaki polis kes 'natang'

Tiga lelaki akan disiasat berhubung kain rentang 'kami nak Idris, natang' yang dinaikkan sewaktu perhimpunan penyokong bekas menteri besar Datuk Seri Idris Jusoh di kediaman rasminya Ahad lalu.

Ketiga-tiganya telah dikenal pasti dan polis sedang mengesan mereka, kata ketua polis Terengganu Datuk Ayub Yaakob hari ini.

Beberapa pihak membuat aduan polis baru-baru ini berhubung kain rentang tersebut yang mereka anggap "menghina institusi raja".

Pemuda PAS negeri membuat laporan polis 25 Mac, manakala sebuah perkumpulan yang dikenali Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) ke balai polis Kuala Terengganu keesokannya.

Awal minggu ini ketua Pemuda PAS pusat Salahuddin Ayub, yang juga seorang ahli parlimen, menggesa polis menyiasat kes tersebut sebelum keadaan menjadi lebih buruk.

Sambil menunjukkan foto-foto tersebut, beliau juga mendakwa kain rentang seumpama itu dipasang di beberapa lagi tempat strategik di Terengganu.

Kain rentang putih bertulisan merah itu kelihatan dipegang oleh beberapa lelaki seperti disiarkan di dua stesen televisyen swasta - dua imej tersebut kini semakin luas tersebar di internet.

Politik Terengganu berada dalam keadaan tidak menentu selama 19 hari, sejak BN berjaya mempertahankan kemenangannya pada pilihanraya umum 8 Mac, selepas pelantikan semula Idris tidak mendapat perkenan istana.

Majlis angkat sumpah beliau di Istana Maziah, Kuala Terengganu pada 10 Mac dibatalkan secara mengejut.

Ahad lalu, Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) melantik wakil rakyat Kijal, Datuk Ahmad Said, sebagai pengganti Idris - tetapi majlis angkat sumpah Ahmad ditangguhkan apabila 22 wakil BN, tidak termasuk Idris, memulaukan majlis tersebut.

Beberapa ratus penyokong Idris berkumpul di kediaman rasminya, tidak jauh dari Istana Tetamu - tempat berlangsungnya majlis penyerahan watikah pelantikan Ahmad oleh MPPR.

Kain rentang kontroversi itu ditemui berada dalam perhimpunan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, lapor Bernama lagi, polis negeri juga menasihati orang ramai yang akan menyambut keberangkatan pulang Sultan Terengganu, yang juga Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, agar tidak menaikkan sepanduk yang "mengandungi perkataan-perkataan sensitif".

Polis juga menasihati orang ramai agar menjaga kelakuan dan emosi sewaktu menyambut baginda di lapangan terbang antarabangsa Sultan Mahmud di Telaga Batin, tidak jauh dari Kuala Terengganu.

Tuanku Mizan Zainal Abidin dijangka tiba jam 10 pagi untuk menyertai acara sukan berkuda Malaysian Endurance Circuit 2008 di Terengganu International Endurance Park di Lembah Bidong, Setiu.

Sambutan besar-besaran itu yang dijangka disertai 10,000 penduduk dianjurkan oleh beberapa badan bukan kerajaan, termasuk Mampat dan persatuan bekas pelajar Sekolah Menengah Sultan Sulaiman - tempat baginda mendapat pendidikan.

http://www.malaysiakini.com

Sebelum ini

Polis buru penyebar 'SMS babi'

Menjelang sambutan Maulidur Rasul minggu lepas, satu mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) disebarkan meluas di kawasan parlimen Nibong Tebal, Pulau Pinang.

SMS itu, antara lain, berbunyi ahli parlimen PKR tersebut, Tan Tee Beng, akan menghadiahkan 100 ekor babi untuk sambutan hari kebesaran Islam itu.

Menurut ketua polis Seberang Perai Selatan, Supt. Shafien Mamat, mesej itu mula beredar dua hari sebelum 19 Mac, lapor laman web Utusan Malaysia hari ini.

Susulan kejadian itu, PKR dan anggota parlimen itu membuat aduan polis.

Polis menyiasat perkara itu menurut Seksyen 500 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, seseorang boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kejadian menyebar SMS yang meresahkan penduduk di negeri ini, dan beberapa negeri lagi yang kini dikuasai pakatan pembangkang, semakin menjadi-jadi selepas pilihanraya umum 8 Mac.

SMS lain di negeri itu, antaranya, mendakwa kerajaan negeri pimpinan DAP-PKR mengarahkan azan di masjid-masjid diperlahankan dan mengajak orang ramai berdemonstrasi.

Di Selangor, tersebar SMS bahawa menteri besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, akan menyampaikan ceramah dalam tempoh beberapa lagi.

Bagaimanapun program itu tidak dianjurkan dan pihak terlibat telah menafikannya.

Risalah-risalah yang mengelirukan orang ramai turut diedarkan, antaranya di Perak dan Selangor.

Malaysiakini

No comments:

Post a Comment