24 March 2008

Lelaki Pakistan ditahan tuntut RM25,000 bebaskan Sharlinie

KUALA LUMPUR 23 Mac – Seorang pemuda Pakistan yang mendakwa dirinya peguam, ditahan petang semalam kerana disyaki menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan dan meminta wang RM25,000 untuk ‘membebaskan’ Sharlinie yang kononnya ada dalam jagaannya di Sabah.

Dia yang merupakan orang ketiga ditahan setakat ini kerana menghantar SMS ugutan berhubung kes kehilangan Sharlinie, direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 26 Mac ini.

Lelaki Pakistan itu yang sebenarnya merupakan perunding teknologi maklumat (IT) menghantar SMS dalam bahasa Inggeris yang bermaksud, “Sharlinie dalam jagaan saya, disimpan di rumah Elisiah binti Abat, Kampung Rampai, Peti Surat 139, Kudat, Sabah.Jika anda bawa RM25,000 ke Sabah, dia akan dipulangkan. Jangan lapor kepada polis atau dia (Sharlinie) hilang selama-lamanya. QNB. 013-3653253).”

SMS itu dihantar pada 21 Mac lalu dari talian 013-3647657 kepada seorang wartawan Utusan Malaysia yang nombor telefon bimbitnya disertakan dalam poster-poster mencari Sharlinie sebelum maklumat itu dikemukakan kepada pihak polis pada hari yang sama.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd. Bakri Zinin memberitahu, lelaki itu yang berusia 26 tahun ditahan di sebuah rumah di Kajang pada pukul 2 petang semalam.

Beliau mengesahkan bahawa penahanan itu dibuat ekoran maklumat yang disampaikan pihak Utusan Malaysia kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berhubung penerimaan SMS itu.

Menurutnya, lelaki Pakistan itu kini disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana perbuatan menakutkan dan Seksyen 363 kanun yang sama iaitu kes culik.

“Kita terkejut masih ada orang yang tidak takut hantar SMS sebegini walaupun polis telah tahan dua orang iaitu seorang pembantu rumah di Johor dan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun di Perak sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Mohd. Bakri, lelaki tersebut mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan memasuki negara ini pada 29 Januari lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan bahawa penahanan lelaki tersebut ekoran SMS yang diterima melalui wartawan Utusan Malaysia berkenaan.

“Selepas kami dapat SMS itu daripada wartawan berkenaan, kita telah maklumkan mengenainya kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

“Pasukan dari IPK kemudian mengesan pemilik nombor penghantar SMS itu sebelum menghantar pasukan khas menahannya di Kajang,” katanya.

Sharlinie, 5, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pulang bersama kakaknya, Sharliena, 8, dari padang permainan kira-kira 200 meter dari rumah mereka di Taman Medan, Petaling Jaya pada pagi 9 Januari lalu.

Pada 14 Januari lalu, seorang pembantu rumah warga Indonesia berusia 27 tahun ditahan di rumah majikannya di Johor kerana menghantar SMS ugutan dan maklumat palsu mengenai Sharlinie.

Keesokannya, seorang pelajar lelaki tingkatan empat ditahan di rumahnya di Bagan Serai, Perak kerana kesalahan yang sama di samping turut meminta supaya talian telefon bimbitnya ditambah nilai.

http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment