17 March 2008

Kit Siang Sudah Mohon Maaf, Apa lagi?

Memorandum bantah kenyataan Kit Siang

Sebuah kumpulan yang menggelarkan diri mereka Suara Rakyat Perak berhimpun secara aman di Padang Ipoh hari ini .

Selepas itu mereka menyerahkan satu memorandum kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bagi membantah kenyataan pemimpin DAP, Lim Kit Siang yang meminta wakil rakyat DAP memulaukan majlis pelantikan dan angkat sumpah jawatan menteri besar Perak Khamis lalu.

Jurucakap kumpulan tersebut, Elfi Mat Noor berkata, memorandum tersebut mengandungi kekesalan rakyat negeri Perak terhadap pemimpin DAP yang menghina keputusan Sultan Perak melantik wakil PAS menjadi Menteri Besar.

Bernama memetik Elfi sebagai berkata, memorandum itu juga bertujuan menyatakan sokongan mereka yang tidak berbelah bagi kepada Institusi Raja-raja Perak.

Lim bagaimanapun menarik balik kenyataannya itu dan telah memohon maaf kepada Sultan Azlan dan Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah.

Ahli parlimen Ipoh Timur itu juga menjelaskan bahawa kenyataan itu tidak bermaksud untuk mempertikaikan Sultan Azlan dan Raja Dr Nazrin yang Lim sanjung tinggi.

Elfi berkata, memorandum itu diterima oleh Raja Di Hilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa yang mewakili Sultan Perak di Istana Kinta pada jam 9 pagi.

- Malaysiakini

No comments:

Post a Comment