Kabinet Malaysia yang ditunggu-tunggu akhirnya diumumkan oleh Perdana Menteri sebentar tadi. Ianya menarik perhatian ramai kerana inilah kabinet pasca kekalahan besar BN dalam sejarah pilihan raya di Malaysia.
Bagaimanakah prospek kabinet ini?
Saya melihat jika inilah bentuk kabinet yang Dollah mampu lahirkan, maka saya yakin ianya tidak akan berdaya untuk memulihkan ketidakyakinan dan kebencian rakyat terhadap BN yang telah diterjemahkan pada pilihan raya umum lalu. Mengapa saya berkata demikian?
Walaupun seramai 8 menteri digugurkan termasuklah “heavyweights” seperti Rafidah Aziz, Radzi, Azmi, Tengku Adnan, Jamaluddin Jarjis dan Abdullah Mat Zain, namun muka-muka baru yang diambil masuk tidaklah sehebat mana, malah ada yang memiliki rekod buruk yang diketahui umum.
Mengemukakan nama Mat Taib ke dalam kabinet, adalah satu kesilapan awal Dollah, kerana rekod Mat Taib ini bukan hanya diketahui orang Selangor malah satu Malaysia termasuk peringkat antarabangsa. Umno Selangor difahamkan menggugurkan nama Mat Taib untuk kerusi Parlimen di Selangor. Sudah pastilah pengguguran itu bersebab, sekurang-kurangnya terdapat asas dimana beliau dikira tidak layak. Mengapa dalam hal yang demikian Dollah menobatkan pula Mat Taib ke dalam kabinet?
Begitu juga halnya dengan Zaid Ibrahim, peguam yang berfahaman liberal dan keras menentang perlaksaan hukum-hukum Islam dalam negara. Zaid juga turut digugurkan oleh Umno Kelantan, malah Zaid pernah dikaitkan dengan politik wang sehingga digantung dari jawatan Ketua Bahagian Kota Bharu. Mengapa tiba-tiba Zaid kini dikira layak pula oleh Dollah?
Kabinet Dollah ini mempunyai 3 orang menteri bertaraf Senator. Iaitu Mat Taib, Zaid dan Amirsham Abdul Aziz. Apakah tidak ada dari kalangan 78 ahli parlimen Umno yang layak untuk dilantik sebagai menteri sehingga terpaksa mengambil orang yang bukan dipilih rakyat? Pemilihan mereka ini membuktikan yang Dollah tidak percaya kepada ahli-ahli parlimennya sendiri yang telah dipilih oleh rakyat.
Semasa pengumuman tadi selain nama Mat Taib dan Zaid, semasa mengumumkan nama Dr Mashitah sebagai Timbalan Menteri di JPM, Dollah menyebut bahawa mereka ini dilantik sebagai Senator bukan sebab kalah bertanding. Dalam erti kata lain beliau bukan memilih dikalangan mereka yang telah ditolak rakyat. Tetapi soalnya Mat Taib, Zaid dan Mashitah (di Baling) telah ditolak oleh Umno peringkat bahagian atau negeri masing-masing. Adakah Presiden Umno sudah tidak lagi mahu mendengar suara akar umbinya sendiri?
Kabinet kali ini turut menyaksikan penggabungan semula beberapa kementerian, antaranya Kementerian Keselamatan Dalam Negeri dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Dollah juga yang melahirkan dua kementerian ini dari satu dan kini beliau juga yang menyatukannya kembali. Kata beliau rupanya banyak pertindihan antara kedua-dua kementerian ini. Apakah tidak ada perancangan jangka panjang ketika memisahkannya dahulu?
Kata Dollah pentadbiran baru ini adalah berasaskan semangat perkongsian kuasa dan setiakawan BN yang mampu melaksanakan agenda kerajaan dengan lebih berkesan. Itu kata Dollah, tetapi keputusan PRU ke 12 lalu menunjukkan yang rakyat tidak berapa bersetuju dengan Dollah. Jika kabinet baru ini mencetuskan ketidak puasan hati dalam Umno sendiri, kemudian diisi pula dari kalangan mereka yang buruk rekodnya, saya pasti setiap agenda kerajaan yang dicetuskan Dollah akan gagal, dan masadepan semakin muram.
Kesimpulannya kabinet Dollah ini lemah, sudah jatuh dan nampak tak mampu bangkit kembali.
Roslan SMS - http://n32.blogspot.com
No comments:
Post a Comment