03 March 2008

Israel terus mengganas -- * 100 Orang Islam terbunuh * Rundingan damai tangguh

<-Rakyat Palestin berkumpul di tempat yang menjadi tapak serangan udara untuk mencari mangsa yang mungkin terkorban di Rafah, Genting Gaza, semalam. – AFP


BANDAR GAZA 2 Mac – Presiden Palestin Mahmoud Abbas yang mengetuai Kumpulan Fatah, telah menggantung rundingan damai dengan regim Isreal selepas tentera Yahudi meneruskan operasi besar-besaran ke atas pejuang Palestin.

Sekurang-kurangnya tujuh orang Islam terbunuh dalam serangan terbaru Israel di Genting Gaza awal hari ini.

Rejim Yahudi itu mengancam untuk memperhebatkan serangannya dengan menyerang pejabat Perdana Menteri Ismail Haniyeh dan hampir 70 rakyat Palestin terkorban sejak dua hari lalu sekalipun mendapat kutukan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tentera darat dan udara Israel beroperasi di kawasan tersebut buat hari kedua berturut-turut.

Dua orang lagi meninggal dunia akibat kecederaan yang mereka alami dalam serangan Israel di pekan Jalaliya, utara Gaza.

Sejumlah 100 orang, kebanyakannya penduduk awam, terbunuh sejak tentera Israel melancarkan serangan di Gaza pada Rabu lalu.

Mereka termasuk 66 orang terdiri daripada kanak-kanak dan orang awam lain yang maut dalam serangan Israel sejak awal semalam.

Serangan besar-besaran dari darat dan udara itu bertujuan menyekat bedilan roket pejuang Palestin ke selatan Israel yang telah membunuh 14 Yahudi sejak 2000.

Ismail yang memimpin Kumpulan Hamas mentadbir Gaza telah meminta para pemimpin negara-negara Arab termasuk Arab Saudi menghentikan keganasan itu.

Beliau juga menyeru supaya per bincangan mengenai perdamaian diadakan antara dua kumpulan yang bermusuhan iaitu antara Fatah dan Hamas.

Sementara itu di New York, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon semalam mengutuk (tanpa tindakan) tindakan Israel menggunakan kekerasan “keterlaluan dan melampaui batas” ke atas penduduk Palestin di Genting Gaza.

Dalam sidang tergempar Majlis Keselamatan yang diadakan bagi membincangkan pertempuran Israel-Palestin yang makin sengit, Ki-moon turut mengecam serangan roket Palestin ke atas selatan Israel.

Majlis Keselamatan dalam kenyataannya mengutuk keganasan di Gaza dan menggesa semua pihak mematuhi kewajipan masing-masing di bawah undang-undang antarabangsa.

“Sungguhpun kita mengakui hak Israel untuk mempertahankan diri, saya mengutuk penggunaan kekerasan yang keterlaluan dan melampaui batas ke atas begitu ramai penduduk awam, termasuk kanak-kanak.

“Saya menggesa Israel menghentikan serangan sedemikian,” kata Ki-moon pada sidang tergempar itu.

Wakil Tetap Palestin ke PBB, Riyad Mansour berkata, tindakan rejim Yahudi termasuk penutupan semua pintu sempadan ke Genting Gaza merupakan jenayah perang.

“Tindakan sedemikian jelas diharamkan oleh undang-undang antarabangsa tetapi dilakukan oleh rejim pada tahap dan skop yang menyamai jenayah perang,” kata Riyadh kepada Majlis itu.

Sidang tergempar itu diadakan atas permintaan anggota bukan tetap Majlis Keselamatan, Libya bagi pihak Liga Arab dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.

Delegasi Libya mengedarkan draf resolusi mengutuk Israel kepada anggota lain dalam Majlis Keselamatan.

Mesir turut membuka sempadannya dengan Genting Gaza bagi memberi rawatan kepada penduduk Palestin yang cedera.

– Agensi

No comments:

Post a Comment