30 March 2008

Honda City VTEC

PRAKTIKAL, luas, berkuasa dan menjimatkan minyak menjadi elemen penting bagi orang ramai dalam mencari kenderaan sesuai untuk seisi keluarga.

Anggapan orang ramai terhadap kenderaan Honda memang tidak lari dengan ciri kemewahan dan kehebatan teknologi VTECnya.


Namun, pengeluar mengadaptasikan ciri mewah itu untuk dinikmati keluarga berpendapatan sederhana sehingga lahirnya model Honda City.

Honda City yang dihasilkan pusat penyelidikan Honda di Thailand menepati ciri-ciri kenderaan yang diperlukan sebuah keluarga.

Kesempatan memandu uji Honda City VTEC yang dipertingkatkan (facelift), baru-baru ini memberi jawapan mengapa kenderaan yang turut didatangkan dengan versi i-DSI menjadi pilihan popular sebagai model terlaris keluaran Honda di negara ini.

Dari sudut luarannya, City generasi kedua ini menerima perubahan dari segi gril depan yang lebih garang (menyamai Honda Civic generasi ketujuh), lampu belakang rekaan baru dan cermin sisi yang kini lengkap dengan lampu isyarat membelok.

Bagaimanapun, bahagian lain masih sama dengan model asal termasuk kapasiti ruang belakang meletak barang terbesar seluas 500 liter, terbesar dalam kelasnya.

Ruang dalamannya diberi warna gelap bagi menambahkan lagi ciri sporty City VTEC dan menampakkan perbezaan dengan versi i-DSI.

Bagi versi i-DSI, ia ditawarkan dengan warna cerah.

Stereng juga menampilkan rekaan baru dengan tiga jejari selain bahagian tengah yang menempatkan beg udara berbentuk seperti 'senyuman' yang kemas.

Paling menarik bagi semua model City, ia dilengkapi kawalan mod tujuh kelajuan (CVT) di bahagian stereng.

Model ini juga memiliki Ultra Seat yang membolehkan kerusi belakang dilipat dan diangkat dalam pelbagai cara.

Kedua-dua ciri ini memberi banyak kelebihan kepada City sehingga menjadi kenderaan pilihan keluarga.

Selain itu, kerusi City kini menerima fabrik kalis air yang sesuai untuk mereka yang mempunyai anak kecil.

Ruang dalamannya agak luas untuk sebuah keluarga dengan dua anak tetapi kurang selesa jika dinaiki lima orang dewasa untuk perjalanan jauh.

Sistem hiburan juga dipertingkatkan apabila Honda menawarkan pemain audio cakera tunggal yang boleh menerima input daripada pemain audio luaran seperti MP3 atau pemain DVD menggunakan sambungan auxiliary (aux).

Daripada sudut pemanduan pula, Honda City sememangnya dicipta sebagai sebuah kereta yang bergerak di bandar.

Paduan sistem gear CVT dan kuasa dari enjin VTEC amat berkesan untuk pemanduan harian di bandar.

Dengan 110 kuasa kuda dan transmisi tujuh gear CVT, pemanduan menjadi lebih menarik di samping pecutan di lebuh raya pula tidak mengecewakan.

Malah, sistem suspensi McPherson menjadikan kenderaan pilihan ramai ini lebih stabil ketika melalui jalan berliku atau mengambil selekoh.

Kerusi pemandu sedikit tinggi dan ia memberikan penglihatan visual sekeliling yang cukup bagus.

Kepada pemandu yang mahukan sedikit keseronokan, fungsi manual pada gear CVT ini boleh digunakan untuk melepaskan kerinduan kepada transmisi manual biasa.

Dengan harga RM85,800 (termasuk insurans), Honda City sesuai bagi mereka yang mencari kenderaan praktikal ke tempat kerja dan pulang ke kampung berdasarkan kepada penjimatan minyak dan ruang kabin yang luas.



Spesifikasi

Enjin: Empat 4 silinder VTEC

Kuasa maksimum: 110hp @ 5800rpm

Tork maksimum: 143Nm @ 4800rpm

Transmisi: CVT dengan 7 nisbah terprogram

Ciri-ciri keselamatan: Beg udara berkembar, ABS dengan EBD

Harga: RM85,800 (termasuk insurans).



Tayar yang dicadangkan

ComfortContact-1

195/50R15 82V

http://www.hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment