Isu MB Terengganu: Tindakan Idris, Umno melampau - Salahuddin ( Video )
KUALA LUMPUR, 25 Mac (Hrkh) - Tindakan Umno dan penyokong Dato' Seri Idris Jusoh dianggap sebagai keterlaluan apabila berlaku penentangan secara terang-terangan terhadap Istana Terengganu berikutan isu lantikan Menteri Besar.
Terkini Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub mendakwa kain rentang yang bertulis 'KAMI NAK IDRIS, NATANG' telah digunakan oleh penyokong Idris Jusoh, ditujukan kepada Sultan Terengganu. Salahuddin dalam sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS hari ini menegaskan kain rentang yang tertulis perkataan tersebut boleh dianggap hasutan dan tidak sepatutnya berlaku apabila sesuatu keadaan tidak berpihak kepada mereka. "Seharusnya mereka bersikap 'gentleman' dalam menghadapi apa jua kondisi politik.
Saya yakin dan percaya bahawa sultan dan raja hari ini menunjukkan keprihatinan mereka dan bukan disebabkan mereka ingin campur tangan. Sultan akan memilih sesiapa sahaja sebagai Menteri Besar sama ada di kalangan PAS, Barisan Nasional atau DAP yang menang," katanya. Sehubungan itu katanya, Pemuda PAS Terengganu akan membuat laporan polis di Balai Polis Terengganu hari ini agar satu siasatan dilakukan siapakah dalang di sebalik tulisan kain rentang tersebut. Dalam sidang media yang turut dihadiri Setiausaha Pemuda PAS, Sabki Yusuf dan Setiausaha Akhbar Presiden PAS, Roslan Shahir Dato' Mohamad Shahir, Salahuddin turut menunjukkan salinan foto kain rentang yang bertulis perkataan tersebut.
Jelas Salahuddin, selain diletakkan di kediaman Menteri Besar, kain rentang tersebut juga didapati digantung di tempat-tempat strategik di seluruh Terengganu. Salahuddin menegaskan beliau tidak menuduh individu atau pihak tertentu di sebalik tulisan di kain rentang tersebut, namun apa yang penting siasatan perlu dilakukan agar tidak wujud suasana yang tidak baik. "Apa yang berlaku hari ini biarlah undang-undang yang menyelesaikan, bukan dengan campur tangan atau menghina serta
memperlekeh mana-mana institusi di raja hari ini. "Jika Perdana Menteri menyatakan interpretasi perlembagaan masih berhak menyatakan kerajaan berhak mendengar pendangannya, itu interpretasi beliau," katanya. Salahuddin juga berkeyakinan sultan mempunyai penasihat undang-undang sendiri dan menggunakan undang-undang tersebut untuk melantik siapakah Menteri Besar yang diyakini. "Sultan juga 'membaca' suasana politik yang berlaku hari ini dan melihat perubahan siapa yang dikehendaki rakyat. Mungkin sudah sampai masanya sultan memilih yang terbaik di kalangan ahli dewan undangan negeri yang telah dipilih bagi memenuhi hasrat rakyat. "Jika di Perak, tiga nama dikemukakan sebagai calon MB, kenapa di Terengganu hanya satu nama sahaja dikemukakan.
Persoalannya ialah kenapa Abdullah tetap mahukan Idris? Dan kenapa Umno hanya serahkan satu nama sahaja calon MB? "soalnya. Dalam pada itu sewaktu ditanya pandangannya kenapa Idris tidak layak dilantik sebagai Menteri Besar, jelas Salahuddin masyarakat sedia maklum dan 'orang kampung' juga mengetahui 'siapa Idris Jusoh yang sebenarnya'.
Selain itu Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian juga percaya bahawa berdasarkan bukti yang diperolehinya, Idris terlibat dengan beberapa kes rasuah sewaktu menjadi Menteri Besar Terengganu. "Ya, saya memiliki fail yang tebal membuktikan Idirs terlibat dengan rasuah. Tunggu dan lihat, saya akan bongkarkan isu ini dalam sidang Parlimen akan datang," katanya.
http://serkamvelleyonline.blogspot.com
Idris mohon keampunan Sultan ( Video )
Bekas menteri besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh, memohon keampunan secara terbuka daripada Sultan Terengganu atas segala kesilapan yang telah menimbulkan kemurkaan baginda.
Idris, juga pengerusi badan perhubungan Umno negeri berkata, beliau pernah mengadap Sultan, kini Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, pada 23 Februari lalu dan telah memohon keampunan baginda.
Bercakap dalam satu sidang akhbar di Subang petang ini, Idris berkata, beliau menghadap Tuanku Mizan untuk menyerahkan senarai calon BN negeri yang akan bertanding.
Katanya, beliau berbuat demikian sebagai menghormati baginda walaupun pada kebiasaannya senarai itu tidak diserahkan kepada sultan.
Idris menambah, beliau sepatutnya menghadap baginda sekali lagi sehari selepas pilihanraya umum 8 Mac, tetapi ia tidak menjadi kenyataan.
BN kembali mempertahankan Terengganu dengan memenangi 24 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri. Ia juga menguasai tujuh daripada lapan kerusi parlimen.
Katanya, beliau gagal menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menyerahkan senarai ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri walaupun telah menunggu hingga tengah malam pada 9 Mac lalu.
"Saya ada temu janji dengan Yang di-Pertuan Agong di Kuala Lumpur jam 5 petang (9 Mac) tetapi tidak lama sebelum itu saya diberitahu bahawa pertemuan ditangguhkan.
"Tetapi saya tunggu sampai tengah malam, namun tidak dapat menghadap Agong," katanya.
Sehari selepas ini, majlis angkat sumpah pelantikan semula Idris sebagai menteri besar di Istana Maziah, Kuala Terengganu tiba-tiba ditangguhkan tanpa sebab dan tarikh baru tidak dinyatakan.
Penangguhan majlis ini memulakan krisis pelantikan jawatan itu selama 14 hari sehingga pejabat Sultan Terengganu mengumumkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Datuk Ahmad Said, sebagai pengganti wakil rakyat Jertih itu.
Idris berkata, sebelum tarikh itu hubungannya dengan Baginda berjalan baik tetapi beliau tidak tahu sebab-sebab tidak dilantik semula bagi penggal kedua.
Ditanya sama ada kemurkaan baginda berpunca, antaranya, insiden rusuhan di Batu Buruk pada September tahun lalu, beliau berkata "saya tidak tahu."
Ditanya mengenai kedudukannya ini sebagai menteri besar, Idris berkata:
"Saya sedia apa jua keputusan asalkan ia memberi kebaikan kepada rakyat. Baik untuk rakyat, baiklah untuk saya."
Keputusan itu, tambahnya, termasuklah digugurkan daripada jawatan tersebut yang kini menjadi perebutan antara beliau dengan Ahmad.
"Jika isu ini (perebutan jawatan) berlarutan, rakyat kurang senang. Ini tidak menguntungkan sesiapa.
"Orang yang tidak suka saya, akan terus membuat fitnah terhadap saya dan penyokong saya akan membalas balik," katanya lagi.
Idris bagaimanapun terus mempertikaikan pelantikan Ahmad, yang dilantik Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Ahad lalu, sebagai menteri besar yang baru.
Ahmad, yang juga ketua bahagian Umno Kemaman, memulakan tugasnya sebagai menteri besar pagi tadi.
Menurut kertas 'Kronologi Pelantikan Menteri Besar Terengganu' yang diedarkan kepada media, pelantikan Ahmad "tidak menurut undang-undang dan bercanggah" dengan undang-undang tubuh negeri dan "tidak menurut menurut perlembagaan", "tidak sah" dan "terbatal sama sekali."
Oleh itu Ahmad "dengan sendirinya terhalang menurut peruntukan perlembagaan daripada menjalankan fungsi dan tugas-tugas sebagai menteri besar," kertas itu dipetik.
Ditanya mengenai laporan bahawa 13 daripada 22 Adun yang sebelum ini menyokongnya, telah beralih menyokong Ahmad, Idris berkata setahunya, kesemua Adun itu masih ada bersamanya semalam.
Ditanya berapa orang Adun yang hadir bersamanya dalam sidang akhbar tadi, Idris berkata:
"Sebahagian besar ada bersama saya dalam sidang media ini, kecuali seorang dua yang kembali ke Terengganu atas urusan keluarga."
Difahamkan mereka menghadiri majlis menyambut harijadi wakil rakyat Kuala Besut Dr A Rahman Mokhtar, sebelum sidang akhbar itu.
MalaysiaKini
No comments:
Post a Comment