25 March 2008

China Benarkan Banduan Pulang Ke Rumah Beberapa Hari Untuk Lawatan Bulanan

BEIJING, 25 Mac (Bernama) -- China akan membenarkan banduan yang sedang menjalani hukuman penjara kurang dari tempoh setahun untuk pulang ke rumah bagi lawatan bulanan bagi satu atau dua hari mulai bulan Julai ini, menurut satu laporan media tempatan, Selasa.

Kemudahan itu akan turut diberikan kepada banduan dari kalangan warga asing, namun mereka hanya dibenarkan untuk melawat sanak saudara di dalam negara dan tidak dibenarkan meninggalkan China, kata China Daily yang melaporkan peraturan baru Kementerian Keselamatan Awam bagi tahanan jenayah.

Banduan yang terpaksa membuat perjalanan jauh akan diberikan kebenaran keluar dari penjara antara tiga dan tujuh hari dalam tempoh lawatan bulanan itu, namun mereka perlu tinggal dengan sanak saudara dan mendaftar diri di balai polis tempatan.

Peraturan baru itu juga membenarkan banduan berkenaan menerima lawatan dari sanak saudaranya, sekali atau dua kali sebulan, dan banduan itu juga boleh menghubungi sanak saudara mereka menerusi panggilan telefon.

Banduan warga asing juga akan dibenarkan menerima pelawat dari kalangan sanak saudara mereka atau petugas kedutaan, dengan syarat mendapat kelulusan dari pihak berkuasa keselamatan wilayah.

China Daily memetik professor undang-undang jenayah Universiti Peking Chen Xingliang sebagai berkata sejak 1979 sudah ada undang-undang yang memperuntukkan kebenaran bagi perjumpaan keluarga buat tahanan jenayah, namun ia tidak dilaksanakan dengan berkesan disebabkan masalah pengurusan dan prosedur perlaksanaan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment