08 March 2008

Bot SPR Karam, Pengundian Di Tiga Saluran Di Hulu Rajang Ditangguh

PUTRAJAYA, 8 Mac (Bernama) -- Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata proses pengundian bergerak di tiga lokaliti dalam kawasan Parlimen Hulu Rajang, Sarawak terpaksa ditangguhkan ke esok setelah bot yang dinaiki pasukan petugas SPR karam.

Beliau berkata tiga lokaliti itu ialah rumah panjang Uma Sekapan Piit (satu lokaliti) yang mempunyai 110 pengundi dan Uma Balo Kasing Long Amo (dua lokaliti) membabitkan 120 pengundi.

Abdul Rashid berkata bot yang dinaiki pasukan enam petugas itu terbalik akibat arus deras ketika mereka dalam perjalanan ke Uma Balo Kasing Long Amo setelah selesai proses pengundian di Uma Sekapan Piit.

"Akibat kejadian itu semua kertas undi yang dibawa termasuk kertas undi bagi Uma Sekapan Piit yang telah selesai pengundian, basah dan tidak dapat diselamatkan.

"Ekoran itu SPR mengambil keputusan untuk menangguhkan proses pengundian di ketiga-tiga kawasan itu sehingga esok pada masa yang akan ditetapkan kemudian," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Abdul Rashid berkata, bagi memastikan kejadian sama tidak berulang esok, pasukan petugas SPR akan masuk ke kawasan berkenaan menggunakan helikopter.

"Kita tidak akan menggunakan bot lagi untuk ke kawasan berkenaan esok," katanya.

Beliau juga memaklumkan kesemua enam petugas termasuk dua anggota keselamatan yang terlibat dalam kejadian itu selamat, begitu juga peti undi yang dibawa bersama.

Sementara itu ketika ditanya mengenai laporan bahawa terdapat gangguan sistem komputer SPR di Padang Besar, Abdul Rashid berkata, setakat ini beliau belum dimaklumkan mengenainya.

Bagaimanapun katanya, sekiranya berlaku sebarang masalah sistem komputer, ia tidak mengganggu perjalanan proses pengundian kerana ia boleh diteruskan secara manual.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment