23 March 2008

BN perlu mohon maaf

KOTA BHARU 22 Mac – Kerajaan Barisan Nasional (BN) harus memohon maaf di atas kesilapan memecat bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan mencampuri urusan badan kehakiman, 20 tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim (gambar) berkata, ia merupakan kesalahan besar yang meninggalkan kesan sehingga hari ini.

Beliau berkata, tindakan tersebut juga memalukan negara apabila dunia memandang serong terhadap sistem keadilan Malaysia.

“Pada pendapat saya kesilapan besar kita ialah apabila kerajaan memecat Tun Salleh Abas dan melantik hakim-hakim yang tidak berkebolehan serta ada unsur rasuah.

“Tetapi perkara ini sudah 20 tahun berlalu dan kerajaan BN harus memohon maaf kerana perkara ini memalukan kita di mata dunia,” katanya di sini hari ini.

Zaid berkata, sudah sampai masanya kerajaan memulakan era baru bagi memulihkan semula imej badan kehakiman yang tercalar.

Katanya, beberapa perkara termasuk cara melantik dan kenaikan pangkat hakim perlu dikaji semula bagi memastikan ia benar-benar bebas.

“Misi saya selepas dilantik sebagai menteri yang menjaga portfolio ini adalah untuk membetulkan tiga bahagian utama termasuk kesilapan mencampuri urusan badan kehakiman.

“Perkara kedua ialah menegakkan semula kebebasan badan kehakiman, ini satu prinsip dalam Perlembagaan yang kita langgar. Kita rasa dengan mengawal hakim, mereka akan tolong kita tetapi dengan cara itu orang lain juga menggunakan hakim sebab mereka (hakim) tidak ada prinsip, kita kena pilih orang yang ada integriti yang boleh terjemahkan keadilan,” katanya.

Selain itu, ujarnya, Jabatan Peguam Negara juga perlu diperkukuhkan daripada semua aspek termasuk memilih peguam yang benar-benar berkebolehan.

“Dari segi Jabatan Peguam Negara macam mana kita nak kukuhkan, dari segi pendakwaan dan penggubalan undang-undang. Ini merupakan perkara yang akan saya lakukan. Saya bukan ahli politik ‘play safe’ (mengambil jalan selamat), saya buat apa yang saya mahu,” katanya.

http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment