07 March 2008

BN Perlis terdesak, propaganda karut 140 ahli PAS masuk Umno

ARAU, 7 Mac (Hrkh) - Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din menyifatkan Barisan Nasional Perlis semakin terdesak sehingga membuat propaganda yang mengarut bahawa 140 orang ahli PAS masuk Umno di Sanglang.
Seperti yang dilaporkan Berita Harian hari ini, Che Omar Mat Isa dan beberapa yang lain menyerahkan borang keahlian Umno kepada Dato' Seri Shahidan Kassim.

Katanya, hari ini di seluruh Perlis akhbar berkenaan diberikan secara percuma kepada rakyat Perlis, kononnya PAS sudah hilang pengaruh di negeri tersebut.

Kerusi Dewan Undangan Negeri Sanglang, dimenangi Ustaz Hashim Jasin pada tahun 2004 majoriti 45 undi sahaja.

Ustaz Haron yang bertanding di Parlimen Arau menyifatkan, Shahidan sudah kehilangan arah dan tergugat kerana beliau tidak mendapat kepercayaan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sementara itu Ustaz Hashim yang mempertahankan kerusi Dun Sanglang berkata, Che Omar tidak pernah menjadi ahli PAS.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis berkata, apa yang berlaku sebenarnya, Che Omar hanyalah memperbaharui ahli Umno.

"Kita kenal semua orang-orang kampung..tidak ada pun yang masuk Umno seramai itu, itu semua orang luar yang dibawa ke situ," katanya.

Malah katanya, Shahidan sendiri pun tahu mereka itu bukan orang Sanglang, tetapi berlakon untuk memburuk-burukkan PAS. "Calon BN, Abdullah Hassan yang lawan saya pun tidak hadir di majlis itu, kerana dia pun kenal siapa Che Omar," ujarnya.

Bercakap mengenai peluangnya, Ustaz Hashim yakin akan kekal mewakili Sanglang dengan pertambahan majoriti yang lebih baik.

Katanya, sambutan rakyat terhadap PAS di seluruh Perlis amat baik dan menunjukkan perkembangan yang amat positif. - mr

- http://www.harakahdaily.net

No comments:

Post a Comment