06 March 2008

Anwar saman Khairy RM100 juta, Chandra RM10 juta

PUTRAJAYA: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan memfailkan saman malu terhadap Timbalan Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan Presiden Just World Dr Chandra Muzaffar terhadap kenyataan mereka disifatkannya sebagai telah merosakkan nama baik beliau.

Peguam Anwar S.N. Nair berkata, beliau telahpun diarah berbuat begitu oleh bekas timbalan perdana menteri itu dan telahpun menghantar surat tuntutan masing-masing kepada Muzaffar pada Selasa dan Khairy pada Isnin.

Surat tuntutan itu mengarahkan kedua-dua mereka menarik balik kenyataan-kenyataan yang mereka buat terhadap Anwar.

Selain menuntut kedua-dua membuat permintaan maaf secara terbuka, Anwar juga menuntut RM100 daripada Khairy dan Rm10 daripada Muzaffar.

"Saya akan failkan tuntutan terhadap Khairy di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, sementara tuntutan terhadap Chandra akan difail di Mahkamah Tinggi Shah Alam," katanya.

Menurut surat tuntutan Anwar terhadap Khairy, beliau pada 20 Februari didakwa membuat kenyataan yang secara tidak langsung boleh menimbulkan pandangan orang ramai bahawa Anwar adalah seorang homoseksual and bermoral rendah pada satu ceramah di Lembah Pantai.

Surat tuntutan kepada Chandra pula merujuk kepada kenyataan beliau yang dibuat pada satu forum di Petaling Jaya di mana beliau telah dipetik akhbar sebagai berkata bahawa berdasarkan pengalamannya, beliau berpendapat Anwar bukanlah pilihan yang baik sebagai seorang Perdana Menteri.

Chandra juga telah dipetik sebagai berkata bahawa Anwar kini cuba menipu orang ramai dengan pendekatan pelbagai kaumnya, sedangkan beliau tidak begitu ketika berada dalam kerajaan.

Nair berkata, Chandra pada Rabu, telahpun menghantar secara faksimili jawapan beliau terhadap surat tuntutan Anwar terhadapnya.

"Dalam jawapannya itu, Chandra menjelaskan apa yang dikatakannya hanya ditujukan kepada mereka yang hadir pada forum itu dan tidak untuk disiarkan melalui media.

"Selain itu, beliau berkata, beliau berpegang teguh pada kenyataan-kenyataannya itu dan tidak akan menariknya balik," kata Nair.

Dalam jawapannya itu, Chandra juga menjelaskan bahawa beliau membuat kenyataannya itu atas dasar tanggung jawabnya sebagai seorang warga negara dan pemilih berdaftar.

Nair juga berkata bahawa sehingga kini Khairy belum lagi memberikan sebarang jawapan terhadap surat tuntutan yang diserahkan kepadanya pada Isnin.

- http://www.mstar.com.my

No comments:

Post a Comment