31 March 2008

Anwar bagi nama Dr. Mahathir cukup buruk di seluruh dunia

Orang Melayu Akan Diperalat Jika Pilih Anwar Jadi PM, Kata Dr M

PULAU PINANG, 30 Mac (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata orang Melayu akan diperalatkan oleh bangsa asing jika memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Beliau mendakwa Anwar, adalah seorang yang pandai berkata-kata dan boleh menarik ramai orang daripada pelbagai golongan dan latar belakang.

"Kalau cakap berkenaan agama Islam, semua orang Islam anggap dia sebagai jaguh agama. Bila dia bercakap dengan orang kampung bagus juga, bila dia bercakap dengan orang buat kuil pun bagus juga.

"Kita tahu orang Barat dan Eropah percaya bahawa Anwar tak lama lagi akan jadi Perdana Menteri. Tak lama lagi bolehlah cucuk hidung nak heret ke mana-mana," katanya pada sesi soal jawab selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Melayu Tanjong di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang dibangkitkan oleh salah seorang peserta di mesyuarat itu mengenai laporan media asing yang mendakwa Anwar bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia tidak lama lagi.

"Kalau orang Melayu nak diheret ke sana sini oleh orang asing, sila pilih orang itu (Anwar). Saya minta maaflah, dia buat bagi nama saya cukup buruk di seluruh dunia kononnya saya tangkap dia, buang dia masuk penjara," katanya.

Pada sidang akhbar selepas majlis itu, Dr Mahathir berkata sistem kuota pencalonan bagi melayakkan seseorang layak bertanding jawatan tertinggi Umno yang dikekalkan semasa menjadi Presiden Umno adalah untuk memastikan hanya mereka yang layak sahaja boleh bertanding dan bukan bagi kepentingan peribadi.

Di bawah sistem kuota itu, perlembagaan Umno mensyaratkan seseorang calon perlu memperoleh pencalonan sekurang-kurangnya daripada 60 bahagian bagi membolehkan beliau bertanding jawatan presiden diperkenalkan selepas Dr Mahathir sendiri dicabar oleh Tengku Razaleigh Hamzah pada 1987 dan mengekalkan jawatan presiden itu dengan kelebihan hanya 43 undi.

Sejak itu, amalan tidak mencabar jawatan tertinggi parti menjadi tradisi.

Dr Mahathir berkata: "Apa ada kepentingan saya. Saya menang bukan banyak tu aja. Saya menang tanpa bertanding banyak kali."

"Ini kita buat semua tu sebab kalau tidak, akan jadi macam Sulaiman Palestin. Dia bukan ada sokongan sangat tapi bertanding," katanya.

Dr Mahathir berkata pada masa beliau memimpin Umno untuk mendapatkan 60 pencalonan daripada bahagian tidak menjadi masalah.

Ini terbukti semasa Anwar mencabar jawatan Timbalan Presiden parti daripada Tun Ghafar Baba, katanya di mana "Dia (Anwar) dapat bukan main banyak...lebih 30 peratus pencalonan tapi dia dapat banyak (pencalonan) kerana pada masa saya tidak ada kawalan.

Dr Mahathir berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam akhbar hari ini bahawa beliau sebagai seorang anggota Jawatankuasa Perlembagaan parti telah mengemukakan kepada Dr Mahathir cadangan anggota parti akar umbi untuk menarik balik kuota 30 peratus.

Bagaimanapun Dr Mahathir memintanya membiarkan sahaja, dan ini kata Muhyiddin kebanyakkan disebabkan pada hakikatnya Dr Mahathir ialah presiden Umno pada ketika itu dan peraturan ini akan melemahkan sebarang cabaran kepada presiden.

Dr Mahathir menjelaskan langkah Umno berkenaan meneruskan sistem tersebut pada ketika itu bagi memastikan pemilihan parti dilaksanakan secara serius kerana "orang yang dicalonkan bukan secara serius dan kita nak adakan pemilihan makan masa."

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment