18 March 2008

Ahli Parlimen BN Lompat Parti, Realiti atau Fantasi

Anwar lepas bom asap…

Sebagai ahli politik Datuk Seri Anwar Ibrahim bijak mengatur kata-kata.Strategi perang saraf biasanya kasi gabra pihak lawan.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang telah dinobatkan oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai bakal Perdana Menteri tahu dalam keadaan sekarang beliau boleh cakap apa saja.

Ini kerana kini bezanya untuk membolehkan pembangkang menawan Putrajaya cuma 30 kerusi – 82 kerusi yang PKR-DAP-PAS sedia ada campur 30 menjadikannya 112 dari 222 kerusi parlimen semuanya.

Barisan Nasional ada 140 kerusi.

Betulkah ada ahli parlimen BN yang nak melompat ke kem pembangkang?

Itulah yang didakwa secara terbuka oleh Anwar Isnin.

Dakwa Anwar ada sebilangan ahli parlimen BN yang berminat nak melompat parti sudah datang berjumpa dengannya.

Katanya mereka tidak akan ‘dibeli’ tetapi hanya akan disambut ‘ jika mereka menerima agenda kami’.

Tidak kurang menarik beliau juga mengakui ada menjalankan usaha menarik sokongan kalangan dikalangan ahli parlimen BN di seberang Laut China Selatan.

Di Sabah dari 25 kerusi pembangkang menang satu kerusi parlimen iaitu Kota Kinabalu menerusi calon DAP.

Manakala di Sarawak dari 31 kerusi pembangkang menang satu kerusi Bandar Kuching,juga menerusi calon DAP.

Perbuatan lompat melompat parti bukanlah satu perkara yang asing dikalangan orang politik di Malaysia Timor.

Mungkin atas sebab itu Anwar mengkhususkan sasarannya di sana.

Satu sumber BN yang layak dipercayai memberitahu Agendadaily mereka sentiasa berwaspada sekalipun dakwaan Anwar itu mungkin sengaja untuk memancing reaksi dan mencetuskan keresahan dikalangan mereka.

Sumber itu melihat dakwaan itu tidak lebih dari satu perang saraf.

“Biasanya hal-hal seperti itu dirahsiakan.Kita pun hairan dengar Anwar boleh cerita begitu.Menang tak rugi apa-apa dia cakap dan sebaliknya untung kalau kami panik.

“Siapa saja boleh buat dakwaan macam itu.Kami juga boleh lepas cakap ada dikalangan ahli parlimen pembangkang yang berminat nak masuk BN,”katanya.

Menurutnya di Sabah mereka sudah kenalpasti orang yang menjadi broker bergiat cuba menarik ahli-ahli parlimen BN.

“Biasalah orang yang cari makan begitu.Apapun buat masa ini ini saya berani kata keadaan adalah terkawal,”katanya.

Cakap-cakap tentang lompat melompat parti ini sudah kedengaran berlegar sejak pagi 9 Mac lagi bila tersebar keputusan dimana BN tewas di empat negeri di semenanjung.

Pihak BN didakwa cuba menarik ahli Dewan Undangan Negeri parti pembangkang di Selangor dan Perak.

Bukan lagi satu rahsia para ADUN PKR negeri Selangor telah ‘dikurung’ di sebuah hotel di Subang Jaya selama beberapa hari untuk mengelak seberang kemungkinan.

Manakala kebimbangan BN pula bertumpu kepada ahli-ahli parlimen di Sabah dan Sarawak.

Yang pasti setakat ini belum ada sebarang indikasi mana-mana wakil rakyat kedua pihak nak melompat.

http://www.agendadaily.com

No comments:

Post a Comment