16 March 2008

Abdullah Minta 23 Adun BN Bersabar

Isu MB Terengganu tambah kronik - Perjumpaan 23 Adun BN dan MPPR dibatalkan

Kuala Terengganu, 15 Mac - Krisis perlantikan Menteri Besar Terengganu menjadi lebih kronik apabila Bernama melaporkan Perjumpaan 23 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO/BN Terengganu dengan Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) yang dijadual berlangsung di Putrajaya pagi ini, dibatalkan.
Makluman pembatalan itu dilaporkan dibuat pada jam 9 pagi, kira-kira dua jam sebelum perjumpaan dan hanya dibuat melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar oleh Pengelola Istana, Mohd Yasim Awang.

Perjumpaan antara 23 ADUN UMNO/BN dan MPPR itu, yang dilaporkan tidak akan dihadiri oleh Idris Jusoh, adalah berkaitan pelantikan Menteri Besar yang berlarutan selama seminggu sehingga menimbulkan spekulasi mengenai calon yang bakal mengisi jawatan itu.

Menurut Bernama lagi, kesemua wakil rakyat UMNO/BN telah bergegas ke Putrajaya malam tadi, selepas mereka menerima SMS daripada Pengelola Istana pada jam 3 petang semalam, yang memanggil mereka untuk menghadiri perjumpaan itu.

Setelah perjumpaan dengan MPPR dibatalkan, ADUN UMNO/BN mengambil kesempatan mengadakan pertemuan selama setengah jam dengan Pak Lah pada pukul 3.15 petang ini, bagi mengadu hal mengenai isu pelantikan Menteri Besar.

Menurut laporan itu, Pak Lah tidak mebuat apa-apa kenyataan, hanya menyuruh ADUN UMNO/BN bersabar.

Sebelum itu dilaporkan bahawa Pengerusi UMNO/BN Terengganu Idris Jusoh sudah berputus asa dan berkata beliau sedia menerima apa juga keputusan berhubung kedudukannya sebagai Menteri Besar.

Ketika ditanya tentang spekulasi mengenai calon yang akan mengisi jawatan tersebut dan bila pelantikan Menteri Besar itu akan dilakukan, Idris menjawab dengan ringkas: "saya pun tak tahu."

Walau pun begitu, Idris masih ‘berlagak’ sebagai Meneteri Besar dengan mengunjungi pelajar cemerlang Terengganu dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Che Fatin Humaira Che Yusuf .

Mengulas lanjut, Idris berkata sebagai pemimpin yang beragama Islam, beliau tetap bersyukur dengan apa yang berlaku kerana ia sudah tentu ada hikmahnya.

"Saya rasa tak apalah (berhubung kedudukan saya sebagai Menteri Besar). Itu, terpulang kepada Allah," katanya.

Idris berkata beliau juga bersyukur kerana BN masih terus memerintah Terengganu sedangkan di sesetengah negeri mengalami perubahan pucuk pimpinan akibat "tsunami politik".

Meskipun begitu, Idris masih ‘meninggi diri’ dengan berkata "Di bawah (kepimpinan) saya, Terengganu kembali di bawah kerajaan BN. Kita mencatatkan keputusan cemerlang dalam keadaan sekarang (akibat tsunami politik) berbanding negeri-negeri lain," katanya.

- http://buletinonline.net

No comments:

Post a Comment