17 March 2008

80 penunjuk perasaan Tibet ditembak mati

China bertindak tegas kekang protes pengikut Dalai Lama

DHARAMSHALA (India): Kerajaan Tibet dalam buangan berpejabat di India mendakwa sehingga 80 orang disahkan terbunuh dalam tunjuk perasaan sejak seminggu lalu yang memuncak Jumaat lepas dengan pihak berkuasa China mengambil tindakan untuk mengekangnya.

Pegawai yang rapat dengan Dalai Lama, pemimpin kerohanian dalam buangan wilayah China itu, 26 orang yang maut ditembak mati berhampiran penjara Drapchi di Lhasa.

"Jumlah kematian itu disahkan menerusi panggilan yang diterima dari Tibet daripada beberapa saksi. Sekurang-kurangnya 72 yang lain cedera," kata jurucakap kerajaan dalam buangan, Thubten Samphel, semalam.

"Ketika ini kita mengesahkan 80 terbunuh," kata pembantu Dalai Lama, Tenzin Taklha mengesahkan angka dikeluarkan kerajaan dalam buangan itu.

Beijing kelmarin berkata sehingga semalam, 10 terbunuh dalam tunjuk perasaan yang cuba dikekang pihak berkuasa itu.

Tunjuk perasaan yang diketuai sami Buddha di wilayah Himalaya itu yang bermula sejak seminggu lalu dan bertukar ganas pada Jumaat tidak kelihatan di Lhasa dengan kehadiran lebih ramai polis China di jalan raya.

Laporan menyatakan pihak berkuasa mengadakan operasi rumah ke rumah untuk memburu mereka yang terbabit dalam tunjuk perasaan berkenaan.

Sementara itu di BEIJING, pihak berkuasa China mempertahankan tindakan terhadap tunjuk perasaan itu dengan berkata ia dilakukan selaras dengan undang-undang.

"Saya secara jujur memberitahu anda tidak ada tindakan yang diambil menjangkaui kuasa perlembagaan angkatan tentera atau melanggari undang-undang antarabangsa," kata pemerintah pasukan Polis Bersenjata Rakyat Wu Shuangzhan.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Condoleezza Rice menggesa China membebaskan sami Buddha dan orang lain yang ditahan semata-mata kerana terbabit dengan tindakan mengeluarkan pendapat secara aman.

Bagaimanapun, pegawai Tentera Pembebasan Rakyat berkata tindakan yang diambil pihak berkuasa di Tibet wajar.

Mereka berkata tindakan diambil Beijing tidak akan dipengaruhi oleh pertimbangan terhadap hakikat bahawa China akan menganjur Olimpik Ogos ini.

Beijing berpegang kepada pandangan bahawa Tibet mengikut sejarah ialah sebahagian daripada China. Namun, sesetengah pihak di Tibet berhujah bahawa wilayah itu sudah merdeka beberapa kurun dan Beijing bertindak menghapuskan budaya Tibet dengan membiarkan orang Han (majoriti rakyat China) berhijrah ke wilayah Himalaya itu.

- http://www.bharian.com.my

No comments:

Post a Comment