KUALA LUMPUR 7 Mac - Seorang penganalisis politik mengkategorikan 61 kawasan Parlimen kebanyakannya di lima buah negeri sebagai kawasan sengit yang akan ditandingi oleh calon-calon pada Pilihan Raya Umum Ke-12, esok.
Profesor Madya Dr. Mohammad Agus Yusoff berkata, negeri-negeri itu ialah Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
Beliau berkata, Kelantan mempunyai enam kawasan antaranya Parlimen Bachok yang menyaksikan penyandangnya, Datuk Dr. Awang Adek Hussin (BN) dicabar oleh Nasharudin Mat Isa (Pas).
Menurut pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, Kedah mempunyai tiga kawasan sengit iaitu Jerlun, Sik dan Kuala Kedah.
Mohammad Agus berkata, Permatang Pauh di Pulau Pinang yang menyaksikan penyandangnya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dicabar oleh Datuk Pirdaus Ismail turut dikategorikan sebagai kawasan sengit, selain Parlimen Kuala Terengganu, Terengganu.
Katanya, calon-calon yang bertanding di kawasan sengit mempunyai pengaruh yang sama kuat dan melibatkan persaingan yang amat sukar sehingga pemerhati politik pun tidak berani membuat ramalan.
‘‘Kemenangan calon sukar diramal, ia ditentukan melalui pengundi yang cenderung membuat keputusan di saat-saat akhir,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta pandangannya mengenai kawasan-kawasan sengit yang mungkin mencatatkan keputusan di luar dugaan di 222 kawasan Parlimen dan 505 Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum kali ini.
Mengulas lanjut, Mohammad Agus berkata, calon-calon di kawasan sengit akan bertarung dari segenap segi termasuk aspek personaliti selain menjelaskan mengenai politik tempatan dan isu nasional.
Bagaimanapun, beliau berpendapat, jika mereka menang sekalipun kali ini, kejayaan tersebut belum tentu membawa maksud mereka akan menang lagi untuk lima tahun akan datang.
‘‘Mereka disifatkan meraih kemenangan dalam keadaan yang tidak selesa,’’ ujarnya.
Mohammad Agus turut ditanya mengapa negeri sekecil Perlis yang hanya mempunyai tiga kawasan Parlimen iaitu Padang Besar, Kangar dan Arau dikategorikan sebagai kawasan sengit.
Beliau menjelaskan, negeri itu bukan kawasan campuran namun kepimpinannya disifatkan sebagai agak ‘keras’.
Ketika ditanya kesimpulan analisisnya terhadap keputusan pilihan raya umum kali ini, beliau merumuskan, BN tetap menang dengan majoriti dua pertiga namun berlaku pengurangan jumlah kerusi yang dimenangi dan majoriti undi.
- http://www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment