24 February 2008

Wan Ubaidah Calon PAS Menang Tanpa Bertanding, Calon BN Muflis

KOTA BAHARU, 24 Feb (Bernama) -- Calon PAS Wan Ubaidah Omar diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kijang di Kelantan selepas calon Barisan Nasional (BN) Mustopha Ahmed didapati tidak layak untuk bertanding pada pilihan raya umum ke 12 ini, kata Pengarah Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Kelantan Rahim Mohd Salleh.

Bercakap kepada Bernama di sini, Rahim berkata rekod mendapati Mustopha sebelum ini didapati muflis oleh Mara dan secara automatik gugur kelayakan sebagai calon pilihan raya.

"Berikutan itu kertas pencalonan BN ditolak SPR dan calon PAS menang tanpa bertanding," katanya.

Terdahulu selepas tempoh penamaan calon ditutup pada pukul 10 pagi ini hanya kedua-dua calon itu yang menyerahkan borang penamaan di pusat penamaan calon di Perpustakaan Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa Satu, dekat sini.

Mustopha ketika ditemui berkata beliau kecewa dengan insiden itu.

Katanya beliau pernah menjadi penjamin kepada pinjaman yang dibuat oleh seorang ahli perniagaan beberapa tahun lepas.

"Tetapi saya telah bayar penuh hutang itu," katanya yang berhasrat untuk membuat rayuan kepada SPR termasuk ke mahkamah.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment