Antara kelompok pemuda yang tidak kurang penting peranan mereka dalam memastikan kelancaran hari penamaan calon pada Ahad, 24 Februari lalu ialah para petugas Unit Amal Malaysia.
Sekalung tahniah diucapkan kepada mereka yang menjalankan tugas dengan penuh dedikasi, amanah, bertanggungjawab yang mencerminkan kesungguhan agar keselamatan dan keamanan suasana pada hari itu berada pada tahap keselesaan yang maksima.
Kesungguhan yang ditunjukkan itu mencerminkan bagaimana mereka bersedia untuk dikerahkan bagi menjalankan tanggungjawab, sekaligus memperlihat kesetiaan kepada pimpinan yang cukup tinggi tanpa mengharapkan sesuatu balasan daripada pihak tertentu.
Mereka adalah pelaksana kepada konsep 'Sami'na wa ata'na' yang dizahirkan dalam program-program usrah berkala.
Mereka ibarat pemuda-pemuda 'Ashabul Kahfi' yang bukan sahaja memiliki jati diri dengan agama yang kental, malah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan sanggup menjadi perisai kepada pemimpin yang terdedah kepada semburan 'water cannon' dalam mana-mana demonstrasi.
Ketaatan kepada pimpinan yang cukup tinggi menjadikan para petugas 'Unit Amal Malaysia' seluruh negara disegani kawan dan lawan, malah mendapat pengiktirafan daripada pelancong dan pemuda-pemuda kaum lain seperti pada perhimpunan Bersih 10 November 2007 lalu.
Negara amat bertuah memiliki para pemuda seperti pasukan Unit Amal Malaysia yang menunjukkan prestasi dan disiplin tinggi dalam menjalankan tugas apabila diperlukan perkhidmatan mereka.
Ini terbukti pada hari penamaan calon 24 Februari lalu di seluruh negara, membuktikan kesediaan mereka untuk bekerja seawal pagi setelah selesai menunaikan solat Subuh untuk ke lokasi seperti yang telah ditentukan oleh ketua masing-masing.
Rakyat seluruhnya dahagakan peranan dan khidmat mereka bagi memastikan kelancaran hari pembuangan undi yang akan berlangsung pada 8 Mac 2008 nanti.
- http://www.harakahdaily.net
No comments:
Post a Comment