SINGAPURA 28 Feb. – Beribu-ribu anggota polis melakukan operasi besar-besaran memburu ketua Jemaah Islamiah (JI) Singapura, Mas Selamat Kastari selepas dia memboloskan diri dari tahanan semalam.
Menteri Dalam Negeri, Wong Kan Seng memberitahu, Mas Selamat melarikan diri dari tandas sebuah pusat tahanan polis di tengah-tengah sebuah kawasan kediaman mewah.
Beliau mengakui kecuaian itu tidak sepatutnya berlaku tetapi menegaskan segala langkah sedang diambil untuk menangkapnya semula.
Mas Selamat yang dituduh merancang merampas sebuah pesawat dan merempuh Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di sini melarikan diri dari Pusat Tahanan Whitley Road petang semalam, kata seorang jurucakap Kementerian Dalam Negeri Singapura.
“Kami mengesahkan dia belum dapat ditangkap,” kata jurucakap itu.
Mas Selamat dikatakan tempang dan kementerian itu menegaskan, dia tidak membawa senjata.
Di KUALA LUMPUR, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memberitahu, polis Malaysia telah mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghalang Mas Selamat memasuki negara ini.
Beliau berkata, pihaknya juga telah meningkatkan kawalan keselamatan dan juga mengedarkan gambar-gambar Mas Selamat kepada agensi-agensi penguat kuasa di sepanjang sempadan Malaysia-Singapura.
“Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff juga sedang bekerjasama dengan pihak polis Singapura berhubung perkara ini... kita akan beri kerjasama penuh.
“Kita menggesa sesiapa saja yang tahu atau ada maklumat mengenai Mas Selamat supaya segera menghubungi mana-mana balai polis,” katanya.
Mohd. Mokhtar yang dihubungi di Johor berkata, gambar-gambar Mas Selamat sudah diedarkan di Kompleks Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor Bahru manakala pihaknya telah memperketatkan kawalan dan rondaan di sepanjang sempadan kedua-dua negara.
Sementara itu, akhbar Straits Times di Singapura melaporkan, beribu-ribu anggota polis ditugaskan menyertai operasi memburu Mas Selamat.
Sejak malam tadi, berpuluh-puluh anggota separa tentera Gurkha Nepal daripada kontinjen khas polis Singapura ditempatkan setiap beberapa meter di sepanjang jalan di sekitar pusat tahanan itu yang terletak berhampiran Raffles Town Club.
Pusat Tahanan Whitley Road menempatkan tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Singapura mempunyai hutan simpan yang agak luas dan tebal serta kawasan tadahan air yang boleh dijadikan laluan keluar dan tempat persembunyian.
Pada Jun 2006, Kementerian Dalam Negeri Singapura mengumumkan Mas Selamat dan empat lagi anggota JI ditahan di bawah ISA, iaitu akta yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan.
Dia ditangkap di Jawa Timur pada Januari tahun berkenaan sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa Singapura.
– AFP/Utusan
No comments:
Post a Comment