29 February 2008

Puteri Reformasi diserbu penyokong dan peminat di Pantai Dalam

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Hrkh) - Calon KeADILan bagi Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang lebih dikenali sebagai Puteri Reformasi, dikerumuni oleh penyokong-penyokong dan peminat beliau pada satu ceramah yang diadakan di Pantai Dalam, malam semalam.

Dengan ditemani oleh suaminya Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim, Nurul Izzah berjalan menuju ke bilik gerakan KeADILan dengan disambut oleh sekumpulan anak muda bermotorsikal yang mengibarkan bendera KeADILan. Beliau bersalaman dengan wanita dan kanak-kanak yang hadir tetapi hanya sekadar menganggukkan kepala kepada kaum lelaki yang ada di sekelilingnya.

Gaya Nurul Izzah cukup memikat hati apabila beliau memulakan ceramahnya dengan memberi salam dalam pelbagai bahasa termasuk Mandarin dan Tamil kepada orang ramai yang hadir.

Dalam ucapannya Nurul Izzah berjanji untuk membantu mempertingkatkan kualiti hidup penduduk-penduduk di dalam kawasannya terutama setinggan yang tinggal di rumah panjang, yang katanya tidak mendapat manfaat daripada pembangunan negara.

Katanya, sekiranya beliau dilantik menjadi wakil rakyat, beliau mempunyai posisi yang lebih baik untuk bersuara bagi pihak mereka berbanding lawannya, Dato' Sharizat Abdul Jalil, kerana beliau mewakili pembangkang.

"Tidak menjadi masalah bagi saya untuk mengkritik kerajaan," katanya.

"Saya berdiri di sini untuk anda semua, dan anda semua perlu menyahut seruan ini dengan berkata kepada kerajaan Barisan Nasional bahawa kami sudah tidak sanggup lagi. Kerajaan tidak boleh memandang ringan kepada kami lagi," katanya.

Terdahulu, pada sebelah petang Nurul Izzah berkata beliau telah bertemu penduduk Pantai Dalam di stesen komuter dan beliau difahamkan bahawa penduduk rumah panjang tidak pernah menikmati perubahan sejak 17 lalu.

"Ahli Parlimen BN berada di sini sejak 12 tahun lalu, tetapi kehidupan penduduk rumah panjang masih seperti dulu. Tiada perubahan. Mereka masih tidak dapat menikmati kualiti hidup. Fikirkanlah tentang masa depan anda, dan undilah saya.

"Saya akan buat yang terbaik untuk memperbaiki keadaan di sini," katanya sambil disambut dengan tepukan yang gemuruh daripada mereka yang datang mendengar ceramahnya.

Beliau turut mengulangi janji Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) untuk menurunkan harga minyak sekiranya parti itu memerintah, dan berkata kerajaan hanya tahu membuat janji-janji kosong dan bersikap angkuh kerana tidak mahu mendengar pandangan ahli ekonomi.

"Negara kita kaya. Kerajaan mampu memberi gaji minima RM1,500 sebulan. Tetapi walaupun negara makmur, rakyat menderita. Mengapa rakyat harus menjadi mangsa sedangkan kerajaan berbelanja mewah?" soal beliau.

- http://www.harakahdaily.net

No comments:

Post a Comment