13 February 2008

Kejutan besar -- Lingam draf penghakiman Mokhtar Sidin, setiausahanya urus cuti Eusoff Chin

HAKIM Mokhtar Sidin (gambar fail) dan gambar kanan, bekas setiausaha Lingam, Jayanti L. Govindarajulu Naidu selepas memberi keterangan pada prosiding siasatan klip video pelantikan hakim di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.






KUALA LUMPUR 12 Feb. – Jayanti L. Govindarajulu Naidu, bekas setiausaha Datuk V. K. Lingam, hari ini membuat pendedahan yang mengejutkan mengenai institusi kehakiman di negara ini.

Ketika memberi keterangan sebagai saksi ke-19 prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja di sini, wanita berusia 45 tahun itu mendakwa beliau bersama dua setiausaha lain Lingam dikurung semalaman di pejabat peguam itu untuk menaip penghakiman satu kes saman sivil membabitkan tokoh korporat, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun pada 1994.

Dalam kes itu yang didengar oleh Hakim Datuk Mokhtar Sidin, Vincent Tan diberi ganti rugi RM10 juta. Ketika itu Lingam mengendalikan kes tersebut mewakili ahli perniagaan berkenaan.

Jayanti mengaku beliau turut menguruskan tempahan tiket penerbangan dan jadual perjalanan bagi percutian Lingam bersama bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd. Eusoff Chin di New Zealand pada Disember 1994.

Dalam keterangan kira-kira dua jam, antara lain beliau menceritakan bagaimana Lingam mengarahkannya mengambil beberapa teks kes undang-undang di perpustakaan pejabat untuk dimasukkan ke dalam penghakiman kes saman itu.

Kes tersebut adalah saman sivil No. S5-23-23-94 antara Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun lawan Hassan Hamzah, Saw Eng Lim, MGG. Pillai, V. Thavanesan, Dr. Barjoyai Bardai, Media Printext (M) Sdn. Bhd. dan Ling Wah Press Sdn. Bhd.

Jayanti yang kini bekerja sebagai ejen hartanah persendirian memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja bahawa kerja-kerja menaip penghakiman kes saman sivil itu dibuat oleh seorang lagi setiausaha Lingam, Sumanti Jaaman.

Katanya, tugas menyiapkan draf penghakiman tersebut turut dibantu oleh seorang lagi setiausaha Lingam bernama Jamilah Abdul Rahman.

“Antara November dan awal Disember 1994, saya masih ingat dengan jelas kejadian kami bertiga dikurung oleh Lingam bagi tujuan kerja-kerja menaip secara rahsia.

“Saya kemudian menyedari bahawa kejadian malam itu adalah bagi tujuan menaip dan menyiapkan penghakiman berkaitan saman sivil No. S5-23-23-94,” katanya.

Jayanti berkata, Lingam membacakan satu persatu draf penghakiman kes itu daripada nota bertulis tangan dan Sumanti menaip setiap patah perkataan yang dibacakan oleh peguam itu.

“Saya duduk berhampiran mereka dalam pejabat itu dan sekali sekala Lingam mengarahkan saya mengambil pelbagai laporan kes undang-undang dari perpustakaan untuk dimasukkan dalam penghakiman tersebut,” ujarnya.

Lingam hanya selesai membaca penghakiman penuh kes saman itu pada sekitar pukul 3 pagi sebelum dokumen itu dicetak lalu disemak oleh peguam itu.

Peguam itu, kata Jayanti, kemudian membuat pembetulan menggunakan dakwat merah di halaman tertentu pada draf penghakiman itu.

Menurut Jayanti, Sumanti membetulkan pindaan yang dicatatkan oleh Lingam sebelum menyalin draf akhir penghakiman itu dalam cakera liut.

Beliau berkata, Lingam kemudian menyerahkan cakera liut itu kepada Hakim Mokhtar Sidin.

“Selepas itu, saya mendapat tahu bahawa penghakiman yang ditulis oleh Lingam secara keseluruhannya digunakan sebagai penghakiman rasmi kes sivil itu oleh hakim berkenaan.

“Pada malam itu, Lingam turut dibantu oleh adiknya, peguam Datuk V. Sivaparanjothi, Adam Bachek dan W. Satchithanandan,” katanya.

Jayanti memberitahu, beliau menyerahkan dua draf penghakiman yang tercatat pindaan yang dibuat oleh Lingam kepada peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah pada 20 dan 22 April 1998.

Kedua-dua draf penghakiman tersebut iaitu yang mengandungi pembetulan dakwat merah dan draf akhir dikemukakan sebagai bukti dan ditanda sebagai C110 dan C111 pada prosiding hari ke-15 Suruhanjaya Siasatan Diraja.

Prosiding suruhanjaya bersambung esok.

- utusan

No comments:

Post a Comment