BANGI, 25 Feb (Hrkh) - Calon PAS Dun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar menarik nafas lega apabila beliau berjaya menempuh halangan dan 'ujian' daripada SPR bermula petang Khamis lalu sehinggalah tengah malam tadi.
Katanya, pada penamaan calon kali ini SPR benar-benar menguji kesabarannya dan juga calon-calon pembangkang yang lain bagaimanapun berjaya dapat diselesaikan tepat pada waktunya.
Menurut beliau, berbagai-bagai karenah yang dilakukan oleh SPR di saat-saat akhir antaranya dikenakan duti setem bahkan setem itu pula hendaklah mengunakan setem yang 'hidup'.
Jelasnya, yang terakhir sekali calon pula dikehendaki mendapatkan borang kebenaran memasuki dewan tempat penamaan calon.
"Karenah SPR ini buat kita menggelabah juga sebab banyak pejabat yang tutup, dan dalam masa yang sama kami terpaksa banyak kali mengisi borang yang diperlukan, bahkan 12 malam tadi kita ke pejabat daerah untuk selesaikan perkara ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas proses penamaan calon yang diadakan di Kompleks Sukan Bangi, Bandar Baru Bangi.
Bagaimanapun, katanya, karenah SPR itu tidak mematahkan semangat dan perjuangan parti PAS untuk merealisasikan 'Negara Berkebajikan'.
Beliau turut bersedia kemungkinan akan berlaku beberapa perubahan yang dilakukan oleh SPR dalam tempoh berkempen sehinggalah hari mengundi.
"SPR boleh keluarkan arahan baru untuk proses penamaan calon di saat-saat akhir dan tidak mustahil mereka boleh buat arahan baru pula untuk tempoh berkempen dan hari membuang undi," katanya.
Mengulas karenah SPR itu, Shafie berkata, sebagai sebuah badan yang lama dan berpengalaman sepatutnya lebih profesional.
"Kalau SPR tidak menyusahkan kita, kenapa kerajaan melanjutkan tempoh persaraan Pengerusi SPR dari 65 ke 66 tahun, dah jelas ada tujuan mereka di sebalik itu," katanya.
Jelasnya, pada hari ini mereka telah lulus satu tahap bagaimanapun satu tahap yang lebih penting bagi PAS adalah hari membuang undi.
"Sekarang kita bukan lagi bekerja dari hari ke hari tetapi dari jam ke jam perlu diisi dengan gerak kerja, kemuncaknya adalah semasa pilihan raya," katanya.
Shafie juga mengingatkan kepada para petugas parti inilah masa yang paling baik untuk PAS merebut kemenangan dalam pilihan raya kali ini memandangkan banyak krisis yang tidak dapat diselesaikan oleh BN.
Kira-kira 2,000 para penyokong PAS berarak mengiringi Dr Shafie ke pekarangan kompleks sukan jam 8.45 pagi. Tepat jam 9.00 pagi beliau menyerahkan borang penamaan calon.
Suasana di dalam kompleks sukan agak terkawal memandangkan penyokong BN dan PAS dipisahkan sejauh sebuah padang bola sepak antara satu dengan lain.
Walaupun dalam cuaca yang agak panas ketika itu, penyokong PAS mahupun BN masing-masing tidak berganjak dan bersabar menunggu pengumuman daripada Pegawai Pengurus SPR.
Dalam tempoh hampir empat jam menunggu pengumuman para penyokong PAS masing-masing membaca doa memohon keberkatan Allah yang dikepalai oleh Hj Mohamad Kaus Abdul.
Di samping itu, lagu PAS turut dimainkan bagi menaikkan lagi semangat para penyokong Dr Shafie diikuti laungan takbir 'Allahuakhbar', 'Lawan, lawan, Lawan BN, dan 'Reformasi'.
- http://www.harakahdaily.net
No comments:
Post a Comment