KAPAR: “Wartawan ke? Kalau awak wartawan, saya tidak mahu memberi sebarang kenyataan,” kata seorang wanita dipercayai isteri kepada Suzaimi Salam, 34, bekas calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sepatutnya bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa, semalam.
Belum pun sempat wakil media bertanya soalan mengenai ‘kehilangan’ Suzaimi wanita terbabit menghempas pintu dan menguncinya.
Cubaan untuk menemui Suzaimi turut gagal dan tidak dapat dipastikan di mana lelaki itu berada walaupun wakil media menunggu di depan kediaman setingkat separuh papannya di Rantau Panjang, di sini, sejak jam 12 tengah hari.
Kereta Perodua Kancil kuning teh susu milik Suzaimi juga tidak kelihatan dan tiada sesiapa berada di rumah peninggalan dipercayai diwarisi daripada ibunya yang meninggal dunia kira-kira dua tahun lalu ketika wakil media memberi salam.
Seorang wanita dipercayai isteri Suzaimi pulang ke rumah itu kira-kira jam 1.50 tengah hari dengan sebuah motosikal. Suzaimi mempunyai dua anak dan seorang daripadanya sudah bersekolah rendah.
Pada hari penamaan calon Ahad lalu, Suzaimi tidak hadir di Dewan Datuk Hamzah, di sini, untuk menyerahkan borang pencalonannya atas tiket PKR sebelum jam 10 pagi, sekali gus membolehkan calon BN yang juga penyandang kerusi DUN Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil, menang tanpa bertanding.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusuf, berkata Suzaimi sudah menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang, kira-kira jam 9 malam kelmarin.
“Suzaimi kemudian datang sendiri ke IPD Klang untuk mengesahkan beliau masih hidup dan tidak hilang seperti dakwaan Ketua PKR Kapar, Mohd Bakir Abd Wahab.
“Suzaimi mengaku ke Port Dickson, Negeri Sembilan, Ahad lalu sebelum pulang ke rumahnya di Rantau Panjang, pagi kelmarin, dan keluar semula tidak lama selepas itu,” katanya.
Mohamad bagaimanapun enggan mengulas apa yang dibincangnya dengan Suzaimi selama setengah jam di IPD Klang, sebaliknya memaklum untuk memastikan ahli PKR itu selamat.
Jiran Suzaimi yang enggan dikenali memaklumkan dia terdengar desas-desus daripada rakan sekampung yang Suzaimi akan bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12, 8 Mac ini.
“Bagaimanapun, saya tidak dimaklum sendiri oleh Suzaimi hasrat itu. Dia memang aktif dalam politik serta PKR dan sering terbabit dalam aktiviti parti termasuk ketika ceramah politik penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.
“Saya tahu ramai yang mencari Suzaimi sejak Ahad lalu tetapi gagal menemuinya. Saya sendiri tidak melihatnya atau terserempak dengannya sejak hari itu,” katanya.
Seorang lagi jiran Suzaimi yang enggan dikenali berkata, lelaki itu memang sering pulang lewat malam dan tidak berasakan sesuatu yang pelik berlaku kepadanya kerana jarang dilihat di rumah.
“Apa yang saya tahu, Suzaimi sekeluarga tiada di rumah, Ahad lalu. Saya ada melihat sebuah Proton Wira meninggalkan rumahnya pagi itu tetapi tidak tahu siapa yang berada dalam kenderaan itu.
“Saya juga tidak pasti sama ada individu lain turut cuba mencarinya di rumah,” katanya.
- http://www.hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment