26 February 2008

Calon BN kalah di DUN Kijang tidak mengaku muflis

KB: Calon Barisan Nasional (BN) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang, Mustopha Ahmed yang digugurkan kelayakan untuk bertanding sebagai calon pada pilihan raya umum ini, menafikan beliau berstatus muflis.
Mustopha, 55, yang jelas masih kecewa dengan insiden pada hari penamaan calon semalam hingga menjadikan beliau satu-satunya calon BN yang tidak layak bertanding berkata pemeriksaan melalui sistem insolvensi mendapati namanya tidak tersenarai sebagai orang yang muflis.

"Saya sendiri pun tak tahu bahawa nama saya ada tersenarai dalam mana-mana senarai orang muflis. Ini disahkan peguam saya sendiri" Mustopha
"Saya sendiri pun tak tahu bahawa nama saya ada tersenarai dalam mana-mana senarai orang muflis. Ini disahkan peguam saya sendiri," katanya kepada Bernama ketika menjelaskan insiden yang menyebabkan kertas pencalonannya ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sekaligus calon PAS, Wan Ubaidah Omar diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi kerusi itu.

Mustopha, antara muka baru BN yang diketengahkan pada pilihan raya umum ini berkata dakwaan bahawa Majlis Amanah Rakyat (Mara) merekodkannya sebagai muflis juga tidak benar.

"Saya sendiri ada surat daripada Mara yang mengesahkan bahawa saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan Mara," katanya sambil menunjukkan surat daripada Pejabat Mara Negeri Kelantan berhubung perkara itu.

Diminta menceritakan mengenai apa yang berlaku semasa proses penamaan calon di Perpustakaan Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa Satu, dekat sini, beliau berkata tiada sebarang bantahan dibuat ketika Pegawai Pengurus Pilihan Raya Ismail Ghani membuka peluang itu pada pukul 10 pagi.

"Kecuali 25 minit sebelum masa bantahan berakhir, saya dimaklumkan bahawa saya termasuk senarai orang yang muflis. Ia sesuatu yang mengejutkan saya kerana saya sudah semak untuk memastikan saya layak untuk bertanding," katanya.

Ditanya punca yang menyebabkannya dikatakan sebagai muflis, Mustopha berkata beliau bersama tiga rakan lain pernah menjadi penjamin kepada seorang rakan mereka yang membuat pinjaman sebanyak RM130,000 pada tahun 1990an untuk berniaga.

Bagaimanapun, katanya, setelah tempoh pembayaran tamat, masih ada baki pinjaman yang belum dilunaskan peminjam kepada Mara.

Beliau berkata akibatnya beliau dan penjamin lain menerima surat daripada peguam Mara untuk menyelesaikan kes itu di mahkamah.

Mustopha yang baru meletakkan jawatan sebagai Pengurus Besar Telekom Malaysia Kelantan berkata dalam keadaan terdesak apabila didakwa muflis, beliau telah meminta pihak Mara menjelaskan perkara itu kepada SPR
"Berikutan itu semua penjamin berpakat mengadakan mesyuarat dan kami berbincang dengan Mara untuk selesaikan hutang itu, Mara pun telah setuju supaya kami teruskan bayaran. Menurutnya dalam proses pembayaran secara ansuran itu Mara juga bersetuju bahawa mana-mana proses penghakiman akan digugurkan," katanya.

Mustopha yang baru meletakkan jawatan sebagai Pengurus Besar Telekom Malaysia Kelantan berkata dalam keadaan terdesak apabila didakwa muflis, beliau telah meminta pihak Mara menjelaskan perkara itu kepada SPR.

"Pengarah Mara bercakap sendiri dengan Pegawai Pengurus Pilihan Raya melalui telefon dan pengurus SPR menerima alasan yang dikemukakan. "Bagaimanapun, SPR negeri mahukan pengesahan hitam putih daripada Mara, namun apa yang berlaku semalam surat yang difakskan itu hanya tiba pada pukul 12.05 tengah hari, sedangkan waktu bantahan ditutup pukul 11 pagi," katanya.

Mustopha berkata beliau telah memaklumkan apa yang berlaku kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Seri Annuar Musa dan Pengarah Pilihan Raya BN Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin.

"Kita akan buat petisyen mengenainya. Satu laporan polis berhubung apa yang berlaku juga telah saya buat semalam," katanya.

Beliau juga memohon maaf "yang tidak terhingga" kepada semua pengundi dan penyokong BN atas apa yang berlaku.

"Hasrat saya untuk bertanding dan jika diizinkan rakyat, saya ingin menjadi wakil mereka. "Niat saya hanya ingin ubah hidup kebanyakan rakyat di Kijang yang saya lihat masih hidup susah. Mungkin niat saya belum diizin Allah," katanya sugul.

Menurutnya, beliau tidak patah semangat dengan insiden itu dan sebaliknya akan turut berkempen untuk kemenangan calon BN di kawasan Parlimen Pengkalan Chepa dan DUN di bawahnya selain mengambil kesempatan memberi penjelasan kepada penyokong BN mengenai perkara sebenar.

"Sebenarnya, hari ini, sudah ada yang perli saya pasal muflis ni, tetapi tak apalah, mereka tak tahu perkara sebenar. "Saya tak kisah, mungkin ada hikmah di sebalik musibah yang berlaku ini," katanya.

Hari ini, BN Kelantan menyatakan kesediaan untuk menfailkan petisyen pilihan raya selepas pilihan raya umum ini sekiranya terbukti SPR membuat kesilapan sehingga menyebabkan pencalonan Mustopha ditolak.

Awang Adek berkata pihaknya akan melantik peguam bagi meneliti perkara itu termasuk kemungkinan membawa kes itu ke mahkamah.

Semalam, Pengarah SPR Kelantan Rahim Mohd Salleh berkata rekod mendapati Mustopha sebelum ini muflis oleh Mara dan secara otomatik gugur kelayakan sebagai calon pilihan raya.

Insiden itu menimbulkan kejutan kepada penyokong BN kerana tidak pernah berlaku kes, calon PAS menang tanpa bertanding di Kelantan.

Berikutan kejadian itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan supaya siasatan dibuat kerana sepatutnya semua calon BN telah melepasi semakan pelbagai tahap termasuk kategori bankrap.

Pada pilihan raya umum 2004, Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa menewaskan calon BN Che Rosli Hassan dengan majoriti 2,882 di DUN Kijang yang mempunyai 15,750 pengundi berdaftar.

- http://klpos.com

No comments:

Post a Comment