KOTA BHARU 21 Feb. – Barisan Nasional (BN) Kelantan hari ini mengumumkan barisan calon pilihan raya yang diyakini mampu merampas Kelantan daripada Pas dengan Datuk Dr. Awang Adek Hussin dilantik mengetuai jentera pilihan raya BN negeri.
Dr. Awang Adek, penyandang kerusi Parlimen Bachok, kali ini akan bertanding di dua kerusi. Selain kekal di kawasan Parlimen itu, Timbalan Menteri Kewangan itu juga akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perupok, di bawah Parlimen Bachok.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Annuar Musa pada sidang akhbar bagi mengumumkan senarai calon itu di kediamannya di Seri Puri, Bukit Marak di sini hari ini berkata, rasional BN meletakkan Dr. Awang Adek bertanding di dua kerusi adalah untuk mengekalkan kemenangan BN di Bachok.
"Ia juga adalah sebagai persediaan meletakkan Dr. Awang Adek sebagai Menteri Besar Kelantan yang baru sekiranya BN berjaya memerintah Kelantan,” katanya.
Annuar berkata, Dr Awang Adek diperlukan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bachok memandangkan Pas dijangka meletakkan Timbalan Presidennya, Nasharuddin Mat Isa di kerusi itu.
- Bernama
No comments:
Post a Comment