MUAR, 13 Jan (Hrkh) - Berdasarkan kepada maklumat yang diterima daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai, besar kemungkinan Pilihan raya Umum Ke-12 akan diadakan selepas masyarakat Tionghua menyambut Tahun Baru Cina pada bulan Februari depan.
"Pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibuat selepas masyarakat Tionghua merayakan sambutan Tahun Baru Cina yang jatuh pada 7 Februari depan dan pada awal Mac pilihan raya umum akan diadakan, kata Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub, di sini baru-baru ini.
Katanya, rakyat akan diminta sekali lagi memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) bagi membolehkan mereka terus memerintah negara ini untuk tempoh lima tahun lagi.
Persoalannya menurut beliau, apakah wajar bagi rakyat untuk terus memberi mandat kepada BN supaya terus memerintah negara ini setelah terbukti kegagalan demi kegagalan yang dilakukan BN sepanjang diberi mandat memerintah negara ini sejak 50 tahun lalu.
Katanya, rakyat perlu menilai semula sejauh mana kesungguhan kerajaan BN membela nasib seluruh rakyat negara ini, apakah amanah ini telah dilaksanakan sepenuhnya, apakah taraf kehidupan rakyat semakin bertambah baik dan rakyat dapat hidup dengan aman dan selesa.
"Sebaliknya apa yang jelas berlaku kehidupan rakyat terus tertekan dan dibelenggu dengan berbagai kesempitan hidup kesan daripada kenaikan harga barang keperluan harian yang tidak terkawal termasuklah kos pendidikan yang begitu tinggi yang sangat membebankan rakyat.
"Begitu juga dengan kehidupan rakyat yang semakin hari semakin tidak selamat, jenayah terus meningkat setiap hari, keselamatan rakyat semacam sudah tidak terjamin lagi hari ini.
"Apakah pemimpin-pemimpin negara peka terhadap seribu satu macam permasalahan yang ditanggung rakyat selama ini, pernahkah mereka terfikir untuk berbuat sesuatu bagi membela nasib rakyat," katanya.
Justeru kerana itu beliau yang juga Anggota Parlimen Kubang Kerian Kelantan, menyeru rakyat semua kaum supaya bangkit membuat perubahan pada pilihan raya umum nanti.
"Rakyat perlu bertindak berani mengajar pemimpin yang tidak menjalankan amanah dan tanggungjawab untuk membela nasib rakyat, biar mereka tahu bahawa kuasa sebenar ada di tangan rakyat, bukan pada mereka," katanya.
- HarakahDaily
No comments:
Post a Comment