15 January 2008

Pembantu ahli politik bantu siasatan kes tembak Adun Tenggaroh

JOHOR BAHRU: Polis menahan beberapa individu termasuk pembantu peribadi seorang ahli politik negeri ini dan seorang pekerja kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tenggaroh, Datuk S Krishnasamy yang mati ditembak Jumaat lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, yang dihubungi di Kuala Lumpur malam tadi, mengesahkan polis menahan beberapa individu di sini, tetapi enggan mendedahkan jumlah atau identiti mereka kerana siasatan masih dijalankan.

Pembantu peribadi ahli politik itu berusia 57 tahun dan ditahan sepasukan detektif Cawangan Khas di pejabatnya di Menara Ansar di sini pagi semalam, manakala pekerja mendiang Krishnasamy ditahan di Segamat, kelmarin.

Difahamkan, pembantu peribadi ahli politik itu ditahan berikutan maklumat bahawa dia meminta kerani di ibu pejabat MIC Johor mengarahkan pengawal keselamatan bangunan itu mengambil surat daripadanya di Menara Ansar, kira-kira 300 meter dari situ, beberapa minit sebelum pembunuhan berlaku.

Krishnasamy, 61, mati ditembak di bahagian bawah mata kirinya di dalam lif bangunan MIC, di Jalan Segget di sini ketika dalam perjalanan untuk menghadiri mesyuarat di tingkat dua, Jumaat lalu.

- B/Harian

No comments:

Post a Comment