30 January 2008

Loloq Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR, 30 JAN 2008: Selepas 4 hari berada dalam koma, penulis lirik dan pujangga tanah air terkemuka, Loloq atau Rosli Khamis, 50, menghembuskan nafas terakhirnya, kira-kira jam 1.40 petang tadi.

Loloq yang dimasukkan ke Wad ICU, Hospital Pakar Damansara, di sini, sejak Sabtu lalu, meninggal dunia akibat pendarahan di dalam otak. Sebelum ini, Allahyarham menjalani pembedahan kecemasan untuk membuang darah beku di dalam kepalanya.

Berita menyedihkan ini disahkan kepada murai.com.my oleh beberapa rakan artis yang rapat dengan arwah iaitu Ramli MS, Aidit Alfian dan Hattan, sebentar tadi.
"Ketika menghembuskan nafas terakhir, isteri beliau berada di sisi Allahyarham," kata Hattan.

Ramli MS pula berkata , ketika ini jenazah Allahyarham sedang dibawa ke Masjid Sungai Buloh, Selangor untuk disempurna dan disemadikan. Ramai rakan artis terus berkejar ke hospital berkenaan sebaik saja mendengar berita mengejutkan itu dan kini sedang bersama-sama mengiringi jenazah Allahyarham ke Sungai Buloh.

Kematian Allahyarham Loloq, ayah kepada tiga anak - Krsty Nur, 11; Jaevn Nur, 8, dan Yasha Nur, 6, - boleh dianggap satu kehilangan besar kepada dunia seni tanah air kerana ilham beliau mencetuskan banyak keindahan terhadap lagu-lagu nyanyian artis terkenal tanah air.

Ketika hayatnya, beliau sudah mencipta begitu banyak lirik yang popular terutama pada era 1980-an dan 1990-an sehingga terkini. Antara karyanya yang hebat adalah Mantera Semerah Padi dan Andalusia nyanyian M Nasir, Awan Yang Terpilu (Ning Baizura), Aduh! Saliha (Mawi), Persis Mutiara (Mila) dan Sembunyi (Misha Omar & Andy Flop Poppy).

Antara hasil nukilan terbarunya adalah bersama komposer Azmeer untuk album solo terkini Misha Omar. Antara kejayaan hebat beliau yang turut menggunakan nama pena sebagai Nurbisa adalah menerusi Anugerah Juara Lagu (AJL), Anugerah Industri Muzik, Anugerah MACP dan Anugerah Planet Muzik (APM).

Selain itu, Loloq juga seorang pelakon dan pernah membintangi filem Man Laksa dan Zombie Kampung Pisang arahan Mamat Khalid. Selain itu, beliau menulis skrip Aduh! Saliha arahan M Nasir lakonan Mawi tetapi nyata tidak sempat melihat karya itu siap sepenuhnya.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya, Amin...

- Murai.com

No comments:

Post a Comment