PUTRAJAYA: Naib presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, yang mengaku semalam beliau lelaki dalam DVD seks yang diedarkan di Johor, hari ini meletak jawatan sebagai Menteri Kesihatan, semua jawatan parti dan sebagai anggota parlimen Labis berkuatkuasa serta-merta.
Dr Chua yang memakai sepasang sut hitam dan kelihatan tenang serta tenteram
Beliau sendiri membuat pengumuman peletakan jawatan tersebut pada satu sidang akhbar di Kementerian Kesihatan di sini pada pukul 3.35 petang.
Difahamkan Dr Chua, 61, mengambil keputusan itu selepas dinasihatkan oleh jemaah menteri, yang mengadakan mesyuarat mingguan hari ini.
Semalam, pada sidang akhbar di Labis, beliau juga telah meminta maaf kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, pemimpin-pemimpin parti dan rakan menteri kabinet yang lain atas apa yang telah berlaku.
Beliau berkata bahawa wanita dalam DVD itu adalah teman peribadinya dan beliau bukanlah pihak yang membuat rakaman aksi berkenaan.
Dr Chua berkata peletakan jawatannya telah disampaikan kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan juga presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting.
"Surat (peletakan jawatan) dalam perjalanan ke pejabat beliau (Abdullah)," katanya dalam sidang akhbar yang penuh sesak dengan wartawan dan berlangsung lebih 45 minit.
Dr Chua yang memakai sepasang sut hitam dan kelihatan tenang serta tenteram berkata: "Saya melepaskan jawatan sebagai Menteri Kesihatan, naib presiden MCA, anggota parlimen Labis, ketua badan perhubungan MCA Johor dan ketua bahagian MCA Batu Pahat".
Beliau berharap peletakan jawatannya itu, yang kononnya kerana 'isu moral', akan menjadi iktibar kepada semua pemimpin, baik dalam MCA mahupun parti komponen lain.
Dr Chua, yang mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Kesihatan pada 30 Mac, 2004 selepas memenangi kerusi parlimen Labis pada pilihan raya umum tahun itu setelah mengalahkan calon DAP Tee Gey Yan dengan majoriti 10,729 undi, berkata beliau mengambil keputusan untuk melepaskan semua jawatan itu hasil maklum balas rakyat.
"Selepas membuat pengakuan (semalam), saya berharap rakyat Malaysia boleh menerima permohonan maaf saya itu, tetapi malangnya maklum balas yang saya peroleh, rakyat tidak boleh terima," katanya, mengulas lebih lanjut mengenai keputusannya itu.
Dr Chua berkata beliau tidak mahu menjadi beban kepada parti dan kerajaan jika terus memegang jawatan.
Di sebalik keputusannya itu, Dr Chua berkata sebagai seorang anggota parti yang telah memegang jawatan dalam kerajaan hampir 20 tahun, beliau akan tetap setia kepada MCA dan kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Doktor perubatan lulusan Universiti Malaya pada 1973 itu, memulakan kariernya sebagai wakil rakyat apabila memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggeram, Johor pada pilihan raya umum 1986 dan mengekalkan kerusi tersebut selama empat penggal berturut-turut sehingga 2004.
Beliau pernah dilantik sebagai Pengerusi Sumber Manusia, Hal Ehwal Pengguna dan Sains Teknologi Johor (1990-1995), Pengerusi Alam Sekitar, Hal Ehwal Pengguna dan Sains Teknologi Johor (1995-1999) dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Alam Sekitar Johor (1999-2004).
(mSTAR Online)
No comments:
Post a Comment