KOTA BHARU 3 Jan. – Prihatin dengan rungutan ibu bapa mengenai bayaran tambahan di sesetengah sekolah yang tinggi sehingga melebihi had siling ditetapkan, kerajaan hari ini bertindak segera untuk mengkaji semula kadar tersebut.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malah berkata, kerajaan bersedia mengurangkan kadar bayaran tambahan itu termasuk yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang didakwa membebankan.
Menurut beliau, walaupun yuran persekolahan dan peperiksaan dihapuskan, kerajaan sedar ramai ibu bapa masih terbeban dengan bayaran tambahan yang ditetapkan oleh pihak sekolah.
‘‘Yuran peperiksaan dan persekolahan telah kita mansuhkan tetapi ada sedikit bayaran PIBG dan bayaran lain yang dikenakan.
‘‘Kita nak tengok juga bayaran (tambahan) ini, kita tidak mahulah kena bayar banyak sangat. Jangan dikenakan bayaran berlebihan kepada ibu bapa yang tidak mampu,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama warga pendidik Kelantan di sini hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati sebilangan ibu bapa mengeluh kerana bayaran tambahan yang dikenakan oleh sesetengah sekolah masih tinggi walaupun kerajaan telah memansuhkan yuran persekolahan iaitu RM4.50 bagi sekolah rendah dan RM9 bagi sekolah menengah.
Caj tambahan ini yang meliputi yuran PIBG, bayaran insurans, kokurikulum, sukan, majalah sekolah, kawalan keselamatan dan sebagainya menyebabkan kadar yang perlu dibayar bagi setiap murid atau pelajar ada yang mencecah RM100.
Di Kelantan, ramai ibu bapa mendakwa terbeban apabila terpaksa menanggung bayaran tambahan persekolahan sehingga RM180.
Mereka mendakwa ada sekolah yang mewajibkan pembelian tudung, alat tulis dan keperluan lain yang tidak tersenarai dalam pakej bayaran tambahan yang ditetapkan.
Kementerian Pelajaran pada 30 Oktober lalu mengeluarkan pekeliling garis panduan pakej bayaran tambahan sekolah yang boleh dikutip daripada ibu bapa.
Amaun maksimum atau siling bagi sekolah rendah RM38.50 manakala sekolah menengah RM55.50 meliputi bayaran kokurikulum, sukan tahunan sekolah, kertas ujian dalaman, kegiatan pendidikan Islam dan Moral serta Skim Perlindungan Diri.
Penetapan pakej bayaran tambahan itu bagaimanapun menimbulkan rungutan ibu bapa termasuk di Kedah yang mendakwa kadar yang perlu dibayar tahun ini lebih tinggi berbanding sebelum yuran persekolahan dimansuhkan tahun lepas.
Mengulas lanjut, Najib berkata, tindakan kerajaan memansuhkan yuran persekolahan dan semua yuran peperiksaan utama bertujuan mencapai agenda memastikan rakyat mendapat pendidikan sewajarnya sekali gus meningkatkan kualiti modal insan.
“Bagi saya semua orang perlu mendapat pendidikan dan tidak ada sebab soal kemiskinan menjadi penghalang untuk belajar.
“Dalam belanjawan skim buku teks diberikan percuma kepada semua dan lepas itu, kita beri pula wang untuk pelajar-pelajar miskin, saya tidak fikir ada negara yang melakukan demokrasi pendidikan seperti kita,” katanya.
Katanya, bidang pendidikan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dan ia dibuktikan melalui belanjawan yang dibentangkan sejak Rancangan Malaysia Pertama.
Beliau berkata, ia terbukti apabila tiada bidang lain menerima dana sebesar bidang pendidikan.
Katanya, proses pendidikan negara perlu terus dihidupkan dan melalui proses perubahan supaya ia terus berkembang.
“Reformasi pendidikan bermula semasa saya Menteri Pelajaran sebab kita nak bidang pendidikan sentiasa relevan dan berubah ikut zaman.
“Kalau zaman menuntut perubahan dinamik maka bidang pendidikan perlu berubah mengikut zaman sekarang. Kalau tak masukkan unsur lebih dinamik maka kita akan ketinggalan dan kehilangan apa yang disebutkan sebagai sebuah negara bangsa,” katanya.
- Utusan
No comments:
Post a Comment