16 December 2007

16.12.07 - Rusuhan kaum: ISA akan dikenakan terhadap penyebar khabar angin

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan hari ini memberi amaran akan mengenakan tindakan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap mereka yang menyebarkan khabar angin kononnya pergaduhan kaum akan berlaku di Kampung Baru di Kuala Lumpur dan Puchong esok.

Beliau juga menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan tindak-tanduk kumpulan tertentu yang menyebarkan pembohongan itu melalui Internet dan sistem pesanan ringkas (SMS) bagi tujuan mencetuskan rusuhan kaum dan menghasut mereka supaya membenci kerajaan.

“Cukuplah tu. Walaupun polis telah berkali-kali memberi amaran keras, tapi masih ada kumpulan tertentu yang tetap mahu menimbulkan masalah.

“Saya tidak akan bertolak ansur lagi dengan kumpulan ini. Mereka merosakkan keharmonian kaum di negara ini. Kalau mereka teruskan juga, mereka kena bersedia menghadapi akibatnya,” kata Musa kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, penyebar khabar angin yang didapati menyebarkan pembohongan dan menghantar berita palsu melalui SMS, menghadapi risiko ditangkap mengikut Seksyen 28 ISA dan jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda hingga RM10,000 atau dikenakan hukuman penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Musa berkata, polis bersikap serius dalam menyekat khabar angin yang disebarkan oleh anasir yang tidak bertanggungjawab ini kerana ia boleh mencetuskan kebimbangan serta menjejaskan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

“Kami telah tempatkan anggota unit risikan kami di lokasi berkenaan dan mereka akan memantau keadaan. Kami akan menjejaki mereka yang bertanggungjawab menyebarkan semua khabar angin itu,” katanya.

Ditanya sama ada lebih banyak tangkapan akan dibuat mengikut ISA selepas lima pemimpin kumpulan pelampau yang mendalangi perhimpunan haram di ibu negara bulan lepas ditahan mengikut akta itu pada Khamis lalu, Musa berkata, siasatan mengenainya masih diteruskan.

“Saya tak mahu berkata apa-apa sekarang,” katanya.

Lima pemimpin berkenaan — P. Uthayakumar, R. Kengadharan, V. Ganabatirau, M. Manoharan dan K. Vasantha Kumar — ditahan selama dua tahun mengikut ISA kerana menganjurkan perhimpunan haram dan menyalakan api perkauman.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata ISA, yang memperuntuk penahanan tanpa perbicaraan, dikenakan terhadap mereka bagi memelihara keselamatan negara dan ketenteraman awam.

- Bernama

No comments:

Post a Comment