15 December 2007

15.12.07 - Anwar sangsi penglibatan Haidar dalam suruhanjaya siasat 'Pita Lingam'

KUALA LUMPUR, 14 Dis (Hrkh) - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim Anwar Ibrahim hari ini melahirkan kesangsian dengan penglibatan Tan Sri Haidar mohamed Nor dan Tan Sri Steve Shim dalam Suruhanjaya DiRaja siasatan 'Pita Lingam'. Penglibatan Haidar dan Steve Shim sebagai anggota suruhanjaya juga menimbulkan beberapa persoalan, katanya.

Anwar berkata demikian semasa mengadakan sidang media dan pendedahan baki pita video yang menunjukkan perbualan seorang peguam yang didakwa sebagai VK Lingam dengan seorang bekas hakim yang didakwa sebagai Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Antara yang hadir ialah, Timbalan Presiden KeADILan, Dr Syed Husin Ali; Peguam yang juga Bendahari KeADILan, William Leong dan Pegawai Khas Anwar, Din Marican.

Haidar terbabit dalam kes Anwar

"Suruhanjaya DiRaja telah dipertanggungjawabkan untuk menyiasat semua perkara berkaitan dengan nama-nama yang disebut di dalam video ini, termasuk saya, yang dirujuk sebagai 'Kes Anwar' di dalam video tersebut," kata Anwar.

Walaubagaimanapun, kata Anwar beliau perlu menarik perhatian di sini bahawa Haidar dan Steve Shim adalah antara hakim yang mendengar kes beliau di Mahkamah Persekutuan.

Dalam perkara ini, KeADILan berharap mereka bertindak waras bagi mengenepikan sebarang tanggapan negatif yang mungkin bersangkit di dalam penyiasatan Suruhanjaya DiRaja, kata Anwar.

Namun demikian, kami masih komited untuk memberikan kerjasama penuh dengan Suruhanjaya DiRaja dengan harapan bahawa anggotanya mempunyai keberanian melaksanakan amanah mereka dengan jujur dan ikhlas, katanya.

Siasat rasuah kehakiman

Anwar berkata, setelah beliau mendedahkan klip video VK Lingam kepada orang ramai kira-kira tiga bulan yang lalu, kerajaan kini telah mengumumkan keanggotaan dan terma rujukan Suruhanjaya DiRaja untuk menyiasat rasuah kehakiman.

Pada mulanya kata beliau kerajaan tidak mengendahkan isu ini tetapi kemudiannya hanya bersetuju membentuk panel tanpa bidang kuasa jelas.

Justeru itu, keputusan menubuhkan Suruhanjaya DiRaja dianggap sebagai langkah positif untuk mengembalikan integriti kehakiman Negara, katanya.

"Kami mengucapkan tahniah kepada ribuan rakyat Malaysia yang telah menuntut reformasi kehakiman.

"Malangnya, terma rujukan Suruhanjaya DiRaja ini tidak memenuhi bidang kuasa yang sewajarnya untuk memulakan siasatan menyeluruh terhadap krisis yang dihadapi institusi kehakiman, sebagaimana yang dituntut Majlis Peguam, badan-badan bukan kerajaan dan lain-lain pertubuhan masyarakat," katanya.

Dedah pita kedua

Kewujudan video ini merupakan bukti bahawa krisis ini cukup mendalam dan telah melibatkan peringkat tertinggi institusi kehakiman, kata Anwar.

KeADILan kesal bahawa suruhanjaya ini tidak diberikan bidang kuasa yang secukupnya untuk menyelesaikan masalah yang telah ditimbulkan oleh video ini, katanya.

"Rasuah, muslihat perlantikan hakim dan ketidakadilan yang dilaksanakan di dalam penghakiman adalah masalah serius yang perlu ditangani.

"Untuk memenuhi janji saya sebelum ini, saya dengan ini memberikan klip penuh video tersebut selama 14 minit dan akan memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya DiRaja," kata Anwar.

Anwar telah mendedahkan baki klip video tersebut yang menunjukkan babak perbualan antara VK Lingam dengan seorang yang dipercayai ahli perniagaan.

"Kita mempunyai bukti mengenai pelakuan keseluruhan mereka yang disebut dalam pita tersebut–peranan VK Lingam, Tan Sri Vincent Tan, Dato' Tengku Adnan, wang yang diberikan kepada bekas Peguam Negara, Tan Sri Mokhtar Abdullah dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Eusoff Chin," kata Anwar semasa menjawab soalan wartawan.

"Selain daripada apa yang dikatakan oleh adik Lingam (VK Thirunama Karasu), kita mempunyai bukti lain untuk menyokongnnya," katanya.

Perbualan tersebut boleh ditonton melalui laman web rasmi KeADILan, www.keadilanrakyat.org.

Anwar juga berkata bahawa pihak yang menyerahkan pita itu kepadanya akan turut tampil memberi kerjasama kepada suruhanjaya.

Begitupun Anwar enggan mendedahkan nama-nama individu yang menyerahkan pita video asal itu kepadanya dan hanya berkata akan tiba masanya 'whistleblower' itu mendedahkan identitinya apabila suruhanjaya memulakan siasatan.

No comments:

Post a Comment