
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi penghormatan terakhir kepada tiga penerjun 10 Briged Para yang terkorban semasa raptai penuh Pameran Antarabangsa Maritim dan Udara (LIMA) pagi semalam.
Abdullah yang diiringi isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah tiba di Pangkalan TUDM Subang dari Terengganu kira-kira 11.25 malam tadi.
Beliau sempat meluangkan masa kira-kira 10 minit melawat ketiga-tiga mangsa terkorban yang tiba dari Langkawi sebelum dihantar ke kampung halaman masing-masing.
Ketiga-tiga mereka yang terkorban ialah Nurul Wahida Yusuf, 20, berasal dari Tanjung Malim, Perak, Siti Hajar Yakub, 24, dari Masjid Tanah, Melaka dan Raymond anak Duncan, 25, dari Simunjan, Sarawak.
Mayat ketiga-tiga mereka diterbangkan dengan pesawat TUDM M30-12 yang mendarat di lapangan terbang TUDM, Subang pada pukul 11.30 malam. Jenazah Nurul Wahida dan Siti Hajar, masing-masingnya dihantar menaiki kenderaan jenazah ke Perak dan Melaka. Mayat mendiang Raymond pula diterbang ke Sarawak dengan pesawat TUDM.
No comments:
Post a Comment