02 December 2007

02.12.07 - Polis berhak surai dengan 'kekerasan yang munasabah'?

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Hrkh) - Pihak polis mempunyai 'peruntukan' istimewa untuk menyuraikan demonstran yang terlibat dalam perhimpunan haram menurut perhitungan mereka.
Melalui perbualan dalam Selamat Pagi Malaysia (SPM) hari ini (1 Disember), dua orang pegawai tinggi polis mendedahkan hal itu yang disebut sebagai Seksyen 27 (B).

Dua orang pegawai polis tersebut ialah ACP Ahmad Safian Md Yassin dan Supt Shubly. Turut hadir bersama dalam membincangkan isu tersebut adalah wakil Suruhanjaya Hak-Hak Asasi Manusia (Suhakam) Dato' S. Subramaniam.

"Berdasarkan 27 (B) polis boleh mengenakan kekerasan munasabah. Jadi kita mengenakan kekerasan yang munasabah untuk memaksa mereka bersurai. Itu saja cara untuk mengatasi masalah tersebut," kata Supt Shubly dalam SPM yang disiarkan secara langsung.

Siaran itu walau bagaimanapun tidak diberikan ruang kepada penonton untuk melontarkan sebarang komentar, pertanyaan, aduan dan cadangan daripada orang-ramai.

"Setelah diperintah bersurai, tapi mereka enggan bersurai maka pihak polis boleh mengambil apa jua tindakan untuk menyuraikan mereka. Pihak polis tidak bertanggungjawab jika berlaku apa-apa," kata ACP Ahmad Safian Md Yassin.

Laporan yang didedahkan oleh media alternatif termasuk Harakahdaily telah mendedahkan bagaimana orang awam yang tidak terlibat dengan perhimpunan itu telah pecah tempurung lututnya kerana dipijak FRU. Adakah ini bermaksud pihak polis enggan bertanggungjawab?

"Suatu perhimpunan yang tidak dibenarkan polis adalah perhimpunan haram. Kalau mereka pergi juga perhimpunan, maka sejak awal lagi mereka melanggar undang-undang. Jadi, sama ada dia duduk di situ saja atau bertindak ganas itu bukan soal lagi, kerana anda datang ke situ saja sudah dianggap sebagai melanggar undang-undang.

"Di situlah 'interest' kami, iaitu mereka telah melanggar undang-undang dengan mengadakan perhimpunan. Apa maksud keganasan di pihak mereka? Itu dikira tahap kedua perbincangan mengenai keganasan. Tindakan polis yang pertamanya, kita akan menyuraikan mereka," kata Ahmad Safian lagi.

Bagaimanapun, tambahnya, permohonan untuk mengadakan perhimpunan boleh diluluskan oleh pihak polis melalui syarat-syarat tertentu.

"Pada ketika perhimpunan itu diadakan, jarang berlaku pelanggaran (syarat-syarat). Tapi, jika tidak, secara automatik ia menjadi perhimpunan haram. Tapi, percayalah. Dalam sekumpulan yang besar, tidak mungkin perhimpunan itu dapat terkawal.

"Tidak mungkin penganjur boleh kawal. Saya rasa Dato' Subaramaniam juga bersetuju dalam hal ini. Ia (perhimpunan besar) tidak mungkin dapat dikawal," kata Ahmad Safian.

"Memang ada masalah yang lalu," kata wakil Suhakam, DatoĆ¢€™ S. Subramaniam , "tapi dalam dua insiden yang dulu kita lihat hal ini tidak berlaku dan kita dapat lihat sedikit kemajuan dari segi hak yang disarankan Suhakam. Semua orang perlu ingat, bahawa hak itu datang bersama tanggungjawab. Ia bukanlah hak mutlak."

"Suhakam bukan cuma beri perhatian ke atas hak demonstran malah hak polis juga. Kita pun teliti aduan tentang polis yang cedera ketika bertugas. Kita sering tegaskan agar perarakan itu tidak mengganggu orang-ramai dan mesti tertib."

Siva dalam penjelasannya berkata, hal keganasan seperti yang disebut oleh pihak polis itu juga mempunyai beberapa tafsiran yang boleh diteliti.

"Kita pancutkan air kepadanya tentulah dia lari, jadi tidak bolehlah kita leraikan orang seperti itu. Itu bukan menunjukkan kekuatan, itu menunjukkan kita kurang adil dan kita langgar hak asasi yang kita amalkan," kata beliau.

Apakah mungkin wujud juga kalangan demonstran yang sengaja bersikap kasar dengan niat agar FRU bertindak kasar ke atas mereka sehingga dipancutkan dengan simbahan asid?

"Apabila permit ditolak, rayuan pun ditolak," kata Supt Shubly, "tiba-tiba mahu berhimpun juga maka secara automatik perhimpunan itu haram. Sudah langgar undang-undang. Kalau demonstran pasif sekali pun, kita akan halang.

"Maka di sini dianggap bahawa tiada perhimpunan aman. Dia duduk di situ sudah salah. Jadi, sama ada dia pasif atau agresif apatah lagi, kita akan ambil tindakan. Jika dia menghalang, kita akan ambil tindakan yang paling minima.

"Jadi, jika mereka agresif maka itulah urutan tindakan yang kita ambil kemudian. Jika berdegil juga, kita pancutkan air. Yang terbaru ini kita tidak masukkan apa-apa asid pun, cuma air saja. Tapi, mereka bertambah agresif sehingga kita terpaksa menembak gas pemedih mata. Semua ini dilakukan kerana kita mahu pecahkan mereka supaya terus bersurai."

Sikap kekerasan yang berterusan ini jika terus menerus diamalkan, akan wujud suatu generasi demonstran yang bagaikan telah imun dan kebal daripada molotov. Gas pemedih mata tidak dapat menyuraikan mereka suatu masa nanti.

Dalam hal lain, kita dapat melihat bahawa setidak-tidaknya demonstran Bersih dan Hindraf memang menghormati undang-undang kerana berusaha memohon permit. Jika mereka tidak mewakili kumpulan yang baik, nescaya mereka enggan memohon permit lagi.

Atau, mungkin mereka pernah minta permit di suatu masa dahulu, lalu setelah polis tidak lagi memberikan permit, maka rakyat sukar percaya lagi. "Jika diminta pun," kata mereka, "bukan pihak polis mahu beri permit itu."

Ketika ditanya tentang strategi polis jika demonstran masih ingin meneruskan perhimpunan walaupun permit tidak dikeluarkan, ACP Ahmad Safian berkata, pihak polis akan mengambil tindakan dengan mengawal kawasan perhimpunan tersebut.

"Kami akan tutup segala laluan yang mereka bercadang untuk melaluinya dan kita akan tahan mereka di ayas kesalahan-kesalahan yang dilakukan berasaskan penal code sepertimana denda dan hukuman penjara.

"Dalam peruntukan yang lain, OCPD mempunyai dua hari bagi membuat keputusan sama ada mahu terima atau menolak perhimpunan itu. Kalau ditolak mereka buat rayuan kepada Ketua Polis Negeri. Kemudian, apa saja keputusan Ketua Polis Negeri, maka ia adalah muktamad," kata beliau tanpa penjelasan; adakah polis akan beri penjelasan jika rayuan terakhir ditolak.

Timbul juga persoalan, jikalau Ketua Polis Negeri sudah muktamad memutuskan untuk tidak membenarkan langsung perhimpunan diadakan, apakah keputusan itu dibuat melalui 'syura' bersama pasukan polis, atau keputusan terakhir itu ada campurtangan atasan? Adakah KPN akan berusaha memberikan jawapan ke atas soalan seperti itu?

Apakah ia tidak menepati syarat-syarat istimewa. Berhubung syarat-syarat yang dikenakan ke atas penganjur, pihak polis secara umumnya menggariskan bahawa perhimpunan itu tidaklah mengganggu ketenteraman awam.

"Pertamanya, jangan panjang sangat tempoh perhimpunan dan itulah cadangan kita terhadap suruhanjaya pembaikan polis dahulu. Jika tidak dipatuhi, pada peringkat akhirnya, pihak polis akan bertindak menyuraikannya.

"Tapi, sesetengah perhimpunan boleh dihalalkan kerana saya percaya jika ada tanggungjawab bersama iaitu tak menggunakan tempat yang merosakkan perniagaan orang, maka kita boleh menghalalkan perhimpunan itu.

"Kadangkala, mungkin polis lambat sampai. Jadi, Suhakam telah tiba dan berbincang dengan pihak terbabit. Dan, polis pun kata baiklah, tidak ada sebarang semburan kimia di situ. Maka, kita harap rakyat janganlah anggap polis ini ganas," kata Supt Shubly.

Tambah beliau, media massa harus memainkan peranan penting dan melaporkan apa terjadi.

"Contohnya, tindakan menembak gas pemedih mata itu sebenarnya harus digunakan di tahap akhir. Jika kita mahu kebaikan, kita akan dapat lebih banyak tanggungjawab yang kita dapat.

"Kalau kita rosakkan harta benda dan rosakkan ekonomi. Nanti kita khuatir, hak kita itu satu demi satu akan diambil balik. Begitulah semua pihak mempunyai peranan yang penting," kata beliau, yang merumuskan bahawa hak berhimpun itu perlu diadakan dengan lebih aman. - mks.

(HarakahDaily)

No comments:

Post a Comment