12 October 2021

Tiga lelaki ditahan bantu siasatan kes pergaduhan


Kuala Lumpur: Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan di sebuah premis di Jalan Changkat, Bukit Bintang, di sini, yang tular di media sosial, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya mengesan dua video masing-masing berdurasi 37 dan 27 saat menunjukkan insiden pergaduhan yang dimuat naik pemilik akaun Twitter, NanManjoi8715.

"Susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah IIbu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menjalankan siasatan berhubung video berkenaan yang membawa kepada penahanan tiga lelaki berusia antara 32 hingga 52 tahun.

"Semua suspek terbabit direman selama dua hari bermula semalam hingga hari ini untuk membantu siasatan kes berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Dellhan berkata, kertas siasatan berhubung kes itu akan diserahkan ke Pejabat Pendakwa Raya sebaik siasatan selesai dijalankan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan video berkenaan yang boleh mendatangkan kegusaran awam.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Sumber : Harian Metro

 

No comments:

Post a Comment