13 October 2021

Niezam Zaidi mohon maaf terbabit dengan dadah


Pelakon Niezam Zaidi hari ini tampil membuat permohonan maaf secara terbuka hanya beberapa jam selepas dia dibebaskan dengan ikat jamin selepas mengaku salah memiliki dadah.

"Bersyukur" dengan dugaan yang menimpa dirinya, Niezam, 28, turut mengucapkan terima kasih kepada sesiapa saja yang mendoakannya.

“Saya minta maaf jika ada salah dan silap saya pada kalian semua.

“Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT atas apa yang terjadi dan jutaan terima kasih juga pada kalian semua yang selalu mendoakan saya selama ini, semoga Allah merahmati kalian,” katanya di Instagram.

Terdahulu, pemilik nama penuh Muhamad Niezam Mohd Zaidi itu bersama dua lagi individu iaitu Mohd Latif Zami, 49; dan Saiful Zaidirin, 43; membuat pengakuan bersalah atas tuduhan memiliki dadah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, Perak.

Mereka didakwa di depan majistret Mohd Shazmeer Zamhari.

Niezam yang pelakon Budak Pailang itu dituduh memiliki 1.15 gram kanabis di sebuah rumah di Taman Chandan Putri, Kuala Kangsar pada petang Ahad lalu.

Mohd Latiff pula didakwa memiliki 0.3 gram dadah jenis kanabis manakala Saiful Zaidrin memiliki 0.38 gram methamphetamine pada tarikh dan waktu yang sama.

Niezam dan Mohd Latiff didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ke atas Saiful pula ia dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pada prosiding berkenaan, timbalan pendakwa raya Nur Syuhada Muhammad Lutfi meminta jaminan sebanyak RM6,000 bagi tertuduh pertama dan kedua manakala RM8,000 bagi tertuduh ketiga.

Niezam yang juga pelakon filem Hantu Bungkus Ikat Tepi itu enggan mendedahkan sebarang butiran lanjut mengenai kes itu kepada umum.

“Buat masa sekarang, saya simpan apa-apa komen mengenai isu ini.

“Saya juga minta maaf tidak dapat membalas satu- satu komen sahabat handai, media dan rakan-rakan seperjuangan melalui Direct Message, WhatsApp, panggilan telefon dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, pelakon Zoey Rahman antara rakan artis yang memberikan kata-kata semangat dengan meminta pelakon itu menjadikan apa yang berlaku sebagai pengajaran.

“Semoga dipermudahkan urusan. Gagal hari ini tak semestinya gagal selama-lamanya,” kata Zoey. - Malaysiakini

No comments:

Post a Comment