23 July 2021

Luahan doktor: Saya tak boleh buat apa-apa untuk bantu pesakit Covid-19

 


Berikut adalah pengalaman peribadi dilalui seorang doktor kontrak di sebuah hospital awam.

Berusia 30-an, dia bercakap kepada Malaysiakini dengan syarat identitinya tidak didedahkan.

Hal itu antara lain kerana kakitangan kerajaan tidak dibenarkan bercakap kepada media tanpa kebenaran, atau boleh dikenakan tindakan jika melanggar arahan tersebut.

Doktor terbabit - yang berkhidmat di jabatan kecemasan hospital - baru saja menyerahkan surat peletakan jawatannya:

Saya memberikan notis berhenti 24 jam kerana sudah tidak mampu lagi bertahan. Saya terlalu kepenatan. Kesihatan mental saya juga amat terjejas.

Walaupun menteri kata semuanya terkawal, sebenarnya tidak. Keadaan di jabatan kecemasan amat kelam-kabut.

Kami cuba menyediakan ruang dengan menutup jabatan pesakit luar dan wad-wad pesakit denggi tetapi pesakit (Covid-19) terus bertambah. Ketika ini ada lebih 300 pesakit di jabatan kecemasan saja.

Masalahnya ialah, walaupun lebih banyak ruang disediakan (untuk pesakit Covid-19), juga kakitangan yang menguruskan mereka tetap lebih kurang sama saja.

Ada kakitangan yang dibawa dari jabatan lain, atau negeri lain, tapi ia masih tak mencukupi. Ramai daripada kami juga sedang menjalani kuarantin di rumah, malah ada yang positif Covid-19.

Hampir 20 orang jururawat kanan sedang positif.

Pesakit yang dibantu alat pernafasan perlu ditempatkan di unit rawatan rapi dan sepatutnya setiap seorang mereka dipantau seorang jururawat.

Tapi semasa syif terakhir saya, ada 11 pesakit dengan alat bantuan pernafasan tetapi hanya ada seorang doktor dan dua pembantu perubatan.

Pesakit di jabatan kecemasan terpaksa menunggu sehingga lima hari sebelum boleh dimasukkan ke wad. Kadang-kadang mereka terpaksa duduk di bangku sepanjang masa.

Kami sediakan katil sementara di mana-mana tempat yang boleh, tapi itu pun tak mencukupi. Bayangkan macam mana pesakit yang duduk menunggu di kerusi selama lima hari. Kadang-kadang mereka tercungap-cungap kerana bekalan oksigen tak cukup.

Kadang-kadang kami terpaksa kongsikan satu tangki oksigen untuk lapan pesakit. Bukan untuk satu malam saja. Ia berlarutan selama beberapa minggu.

Sebagai doktor saya dapati keadaan itu sangat sukar dan mengecewakan. Maksudnya, saya tak boleh buat apa-apa untuk membantu pesakit saya. Mereka perlukan oksigen tapi saya tak dapat nak berikan kepada mereka.

Ini adalah injap tiga saluran. Buat masa ini ia diubah suai untuk kegunaan menyalurkan oksigen. Ia tidak memadai, tetapi jadilah, daripada tak ada langsung.

Apa yang perlu dilakukan?

Saya fikir Jabatan Kesihatan Selangor dan Kementerian Kesihatan perlu meningkatkan usaha mereka. Masa adalah faktor yang sangat penting. Ramai orang sedang nazak ketika kita bercakap sekarang ini.

Mobilisasi besar-besaran perlu terutamanya dari negeri-negeri yang tidak mengalami masalah serius.

Masalahnya sekarang ialah, kita mendapat bantuan daripada negeri yang teruk seperti Melaka dan Negeri Sembilan.

Jika semua negeri menjadi macam Selangor - mudah-mudahan ia tidak berlaku - maka tak ada apa yang boleh kita buat. Ia macam Itali, UK dan India sekali lagi.

Perintah kawalan pergerakan kita yang separuh masak ini tak berkesan.

Selagi kes baru harian terus meningkat, tak banyak yang boleh kita lakukan. Hanya sebanyak itu saja orang dan peralatan yang kami ada.

Majoriti pesakit saya datang dari kilang. Malah ada antara mereka sudah positif beberapa hari tetapi dipaksa bekerja dan mereka bekerja dengan orang lain. Ini gila.

Kita sama sekali tidak langsung mengawal sumber jangkitan.

Saya bukan pakar dalam hal (pengurusan) bencana atau krisis. Ada orang yang bertanggungjawab dalam hal itu. Mereka perlu menggiatkan usaha sebelum keadaan menjadi seperti di India.

Sumber : Malaysiakini

 

No comments:

Post a Comment