12 May 2021

COVID-19 : 469 ICU, 244 PERNAFASAN, 39 KEMATIAN


4,765 kes baru: 55 peratus di Lembah Klang, 39 kematian


Sebanyak 4,765 jangkitan baru Covid-19 dilaporkan hari ini, maklum Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 453,222 kes.

Angka korban harian merekodkan angka tertinggi, dengan 39 lagi kematian.

Menurut Dr Noor Hisham daripada jumlah kematian itu, sebanyak 37 kes melibatkan warganegara manakala dua lagi bukan warganegara sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 1,761 kes.

Jumlah kes di unit rawatan rapi hospital terus meningkat, dengan 469 pesakit sedang dirawat di ICU manakala 244 kes pula memerlukan bantuan pernafasan.

Lembah Klang terus mencatatkan kes harian tertinggi, dengan Selangor sebanyak 2,082 kes dan Kuala Lumpur 540 jangkitan baru.

Ini diikuti Sarawak (405), Johor (348) dan Kelantan (297).

Lima negeri lain juga merekodkan kes baru tiga angka, iaitu Pulau Pinang, Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.

Sementara itu, maklum Dr Noor Hisham 14 kes baru tempatan Covid-19 yang dijangkiti varian Afrika Selatan B.1.351 telah dikesan di Kelantan, Kedah, Selangor dan Negeri Sembilan manakala satu kes import bukan warganegara yang dijangkiti varian India B.1.617.2 dilaporkan telah meninggal dunia.

“Ini dikesan melalui survelan genomik yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) ke atas 33 sampel Covid-19 dari 3 hingga 10 Mei 2021.

“Sehingga kini, jumlah keseluruhan kes Covid-19 yang dijangkiti varian Afrika Selatan B.1.351 adalah sebanyak 62 kes dan varian India B.1.617 sebanyak dua kes iaitu masing-masing satu kes subketurunan B.1.617.1 dan B.1.617.2,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, 20 kluster baru dikesan membabitkan 12 kluster di tempat kerja, lima kluster komuniti dan masing-masing satu kluster keagamaan, kumpulan berisiko serta institusi pendidikan yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Kluster di tempat kerja membabitkan Kluster Tapak Bina Persiaran Tanjung, Persimpangan Batu Arang, Tapak Bina Bukit Semenyih 2, Industri Jalan Emas dan Persiaran Masjid Lima di Selangor; Persiaran Satu, Tapak Bina Batu Lima dan Jalan Segambut Pusat di Kuala Lumpur; Jalan Tembaga Industri dan Jalan Gangsa Industr di Johor; Jalan Terbilang di Pulau Pinang dan Telipot di Kelantan.

“Kluster komuniti melibatkan Nanga Skrang dan Skim Penempatan Stapok di Sarawak; Kampung Tok Sangkut di Kelantan; Kahang Timur di Johor dan Tanjung Kapor di Sabah. Kluster kumpulan berisiko melibatkan Lorong Taman Ipoh Dua di Perak; kluster keagamaan melibatkan Jalan Muafakat di Johor dan kluster Institusi Pendidikan KPM di Sabah melibatkan Kebagu,” jelasnya.

KKM turut mengucapkan Selamat Hari Jururawat kepada petugas kesihatan itu atas jasa dan bakti yang diberikan terutama sebagai barisan hadapan dalam perang melawan Covid-19.

“Tanggal 12 Mei setiap tahun, Hari Jururawat disambut di seluruh dunia sebagai mengenang jasa golongan jururawat yang sanggup berkorban masa, tenaga dan bertungkus lumus dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya.

Sumber : Malaysiakini

No comments:

Post a Comment