21 April 2021

Sistem penomboran elak bazar Ramadan sesak


SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menggunakan sistem penomboran di semua bazar Ramadan bawah pentadbirannya bagi memastikan operasi di tapak tidak terlalu padat.

Pemangku Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan, berkata sistem berkenaan dilaksanakan Isnin lalu berikutan ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) pada minggu pertama bazar Ramadan.

"Setakat ini, sistem berkenaan berjalan lancar dan kami memohon kerjasama berterusan daripada pengunjung dalam pelaksanaan sistem ini. Mereka perlu bersabar kerana kita terpaksa melalui proses ini dalam suasana pandemik COVID-19.

"Menerusi sistem ini, kita akan melihat keluasan bazar Ramadan terbabit dan jumlah pengunjung ditetapkan melaluinya bagi memastikan SOP dipatuhi," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa (Iftar Ramadan) MBSA 2021 dan Penyerahan Sumbangan kepada Kakitangan MBSA, semalam.

Mohd Rashidi berkata, MBSA turut mewujudkan pasukan petugas membabitkan Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan serta menambah penolong pegawai persekitaran daripada Jabatan Sisa Pepejal untuk membantu dari segi pemantauan SOP di bazar Ramadan.

Katanya, buat masa ini seramai 200 penguat kuasa ditempatkan di bazar Ramadan dan pemantauan sepenuhnya akan dilakukan dengan bantuan pasukan RELA.

"Gunakan peluang ini sebaiknya, kami cuba untuk memudahkan proses pelaksanaan bazar Ramadan dan tidak mahu ia ditutup kerana ketidakpatuhan pengunjung terhadap SOP," katanya.

Sebanyak 1,700 tapak bazar Ramadan diluluskan MBSA pada tahun ini di lebih 50 lokasi termasuk yang diuruskan pihak swasta.

Sementara itu, majlis iftar adalah inisiatif MBSA untuk membantu kakitangan yang kurang berkemampuan bagi meringankan beban sepanjang Ramadan.

Seramai 105 warga kerja MBSA menerima sumbangan mengikut kriteria tertentu diberikan melalui Tabung Majikan Prihatin MBSA bernilai RM300 dan mendapat tambahan RM100 serta barangan bernilai RM50 daripada Kelab Rekreasi MBSA. 

Sumber : Berita Harian

No comments:

Post a Comment