13 October 2020

Anggap kematian anak terbela, jadi pengajaran kepada semua

 


KOTA BHARU - Penantian selama empat tahun sepasang suami isteri menuntut pembelaan kematian anak lelaki terjawab apabila keputusan mahkamah berpihak kepada mereka.

Kamaruddin Mat Nasir, 50, berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu di sini semalam, dianggap sebagai satu kemenangan meskipun tidak mampu mengembalikan semula nyawa anaknya itu.

Kamaruddin merupakan bapa kepada Nik Mohd Lutfi Kamarudin, 14, yang meninggal dunia selepas dihempap tiang gol ketika bermain bola sepak bersama rakannya di sebuah sekolah menengah pada 12 Julai 2016.

Kejadian tersebut berlaku ketika pelajar Tingkatan Dua dari sebuah sekolah menengah di Gua Musang itu, mengikuti mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.

Kamaruddin berkata, meskipun peristiwa itu telah berlalu tetapi insiden yang menimpa anaknya sentiasa berada dalam ingatan mereka sekeluarga.

“Perasaan kami bercampur baur. Kami sedih bila terkenangkan kembali apa yang dilalui ketika kehilangan anak kami.

“Saya mengharapkan apa yang berlaku kepada kami ini menjadi pengajaran untuk semua pihak,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Keputusan berkenaan dibuat Hakim, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh semalam di hadapan Peguam Cara plaintif dari Tetuan Aziz Derashid Rosdin & Co, Mohd Taufikrullah Rusli dan Peguam Persekutuan bagi pihak defendan-defendan iaitu Safiyyah Omar serta Wan Nik Nur Adila Mat Zaidan.

Wan Ahmad Farid memerintahkan kesemua lima defendan membayar ganti rugi am, ganti rugi kesedihan, pengkebumian dan kos guaman berjumlah RM128,000 berikutan kematian anaknya pada tahun 2016.

Mengulas lanjut, Kamaruddin berkata, jumlah bayaran terbabit bukanlah perkara yang utama untuk dia dan isterinya tetapi sebagai satu pembelaan terhadap anaknya yang sudah pergi meninggalkan mereka kira-kira empat tahun lalu.

Katanya, keputusan mahkamah itu juga sebagai satu pengajaran kepada pelbagai pihak agar menitikberatkan soal keselamatan dan berharap insiden serupa tidak berulang. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment