06 June 2020

Wanita PH gesa ketua SPRM siasat tingkah laku pegawai 'samseng'

Wanita Pakatan Harapan (PH) mengecam intimidasi yang didakwa dilakukan terhadap saksi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Nurul Hidayah yang merupakan pembantu Anggota Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dalam satu kenyataan bersama, ketiga-tiga pemimpin wanita itu - Rodziah Ismail (PKR), Chong Eng (DAP) dan Aiman Athirah Sabu (Amanah), menggesa ketua pesuruhjaya SPRM, Azam Baki melancarkan siasatan terhadap dakwaan salah laku dan 'penyeksaan' ke atas saksi dan suspek yang dibawa ke premis SPRM untuk disoal siasat.

“Kami menyatakan solidariti kami kepada saudari Nurul Hidayah dan rakan-rakannya serta semua yang menjadi mangsa penyeksaan, ancaman dan taktik menakut-nakutkan oleh SPRM dan meminta siasatan penuh terhadap insiden mengaibkan ini,” kata mereka.

Nurul Hidayah semalam mendakwa dilayan secara tidak adil ketika disoal siasat oleh pegawai SPRM sebanyak tiga kali sejak April.

Antara lain, berdasarkan laporan polisnya, Siti mendakwa pegawai SPRM merampas telefon bimbitnya, melemparkan telefon kepadanya, menggunakan kata-kata kesat terhadapnya, mengancam untuk menamparnya, menendang kerusi dan mematikan lampu semasa sesi soal jawab.

Sementara itu, ahli pemuda Bersatu Adam Mukhriz Mohd Muhayeddin turut mendakwa dia dan seorang lagi ahli parti disoal siasat secara berasingan selama beberapa jam oleh SPRM pagi semalam.

Kedua-dua mereka membuat dakwaan itu dalam sidang media di Putrajaya semalam, selepas bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dalam sidang media sebelum itu mendakwa Perikatan Nasional (PN) menggunakan agensi penguat kuasa seperti SPRM untuk menekan pembangkang.

Sehubungan itu, Wanita PH turut menggesa Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin campur tangan untuk menghentikan tindakan 'membuli' suspek ketika ditahan suruhanjaya itu.

“Tidak ada tempat untuk tingkah laku samseng dalam agensi kuat kuasa awam seperti SPRM dan perdana menteri mesti mengambil langkah untuk menghentikan budaya membuli dan mengganasi suspek dan saksi.

“Ingat, SPRM juga mempunyai sejarah hitam yang tersendiri dan tidak akan pernah dilupakan oleh semua,” kata mereka merujuk kes kematian saksi SPRM Teoh Beng Hock lebih sedekad lalu.

Wanita PH turut mengusulkan agar cadangan daripada Laporan Suruhanjaya Tun Dzaiddin untuk Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), bahawa ruang siasatan harus dilengkapi pengawasan video.

“Segala wawancara dengan suspek dan saksi hanya boleh dilakukan dalam ruangan tersebut.

“Sekiranya amalan seperti itu diterapkan secara komprehensif oleh semua agensi penguatkuasa termasuk SPRM, mungkin kematian Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbani dalam premis SPRM dapat dielakkan,” kata mereka.

Semalam, Dr Mahathir mengancam akan mendedahkan semua salah laku yang dilakukan kerajaan sekiranya mereka tidak berhenti berbuat demikian.

Agensi pencegah rasuah itu sebelum ini menyatakan penahanan seorang ahli pemuda Bersatu sebelum ini “tiada kaitan dengan niat politik”, sebaliknya ia merupakan sebahagian daripada siasatan ke atas kehilangan wang dari rumah Syed Saddiq.

-- Malaysiakini


 Pembantu peribadi Syed Saddiq dakwa dipanggil babi oleh pegawai SPRM



Siti Nurul Hidayah tidak diugut, herdik - SPRM


  SPRM membuat laporan polis terhadap Siti Nurul Hidayah


No comments:

Post a Comment